MELAKA - Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini menyediakan tiga kanopi bagi memudahkan orang ramai menunggu giliran terutama warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung untuk berurusan pada Isnin.
Tinjauan Sinar Harian turut mendapati, pihak KWSP sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pengunjung terutama penjarakkan fizikal.
Pengunjung, Siti Rusniza, 45, berkata, dia teruja untuk membuat permohonan memandang sudah lama berhenti kerja dan kini bergelar suri rumah.
"Lagipun suami saya yang bekerja kilang tidak lagi menerima elaun kerja lebih masa. Jadi, hanya bergantung kepada gaji pokok sahaja.
"Kalau RM10,000 ini lulus, benar-benar akan dapat membantu keluarga kami lebih-lebih lagi sekolah akan dibuka tidak lama lagi dan anak-anak dapatlah membeli keperluan persekolahan dengan wang itu," katanya.
Bagi S.Ramesh, 38, dia sanggup beratur sejak pagi dengan tujuan dapat mengeluarkan wang simpanan itu bagi melangsaikan hutang memandangkan dia kini dihimpit kesempitan hidup.
"Sejak negara dilanda wabak Covid-19 memang pendapatan saya terjejas dan ada pengurangan.
"Jadi saya cuba mohon, sama ada dapat atau tidak saya akan tunggu keputusannya bulan Januari depan," katanya.
Manakala Jamsari Ibrahim, 47, pula menyifatkan pengeluaran i-Sinar dapat memberi manfaat kepada ramai orang untuk bertahan dalam situasi sukar sepanjang pandemik Covid-19.
Dia yang sudah mencarum KWSP sejak 20 tahun lalu berterima kasih kepada kerajaan yang sudi mendengar keluh-kesah rakyat khususnya bagi membantu mereka yang hilang sumber pendapatan.