Selangor saring semua petugas di HTAR dalam masa terdekat

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Selangor akan menjalankan saringan terhadap semua petugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dalam masa terdekat, susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kemudahan kesihatan itu sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya dan Jabatan Kesihatan Negeri sedang meneliti mekanisme terbaik untuk tujuan itu, antaranya melaksanakan ujian saringan bersasar bagi mengurangkan risiko penularan pandemik tersebut di hospital berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya sedang berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berhubung kaedah ujian saringan yang akan dilaksanakan kepada petugas HTAR.

"Kita akan buat saringan bagi semua pekerja (di HTAR) kerana mereka berdepan risiko (penularan Covid-19) yang besar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Perayaan Krismas Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Isnin.

Iklan

Setakat kelmarin, terdapat 143 kes positif melibatkan 62 kakitangan kesihatan dan 81 pesakit di HTAR Klang, manakala di Hospital Serdang merekodkan 65 kes melibatkan 37 kakitangan dan 28 pesakit.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata sebarang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang peningkatan kes Covid-19 di Selangor akan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya sesuatu kawasan mencatat jumlah kes positif Covid-19, yang tinggi seperti yang berlaku di daerah Klang.

Iklan

Jelasnya, walaupun daerah Klang mencatatkan kes positif Covid-19 setiap hari, namun peningkatan tersebut adalah susulan keputusan kerajaan, mewajibkan saringan pekerja kilang khususnya warga asing dalam kawasan zon merah.

"Walaupun kes meningkat, tetapi ia masih dalam kawalan kerana kita mewajibkan pekerja kilang (warga asing) buat saringan dan dibayar oleh pengusaha kilang. Ini pengajaran yang paling penting selepas insiden Kluster Teratai,” katanya.

Menurut Amirudin, beliau juga akan menghadiri mesyuarat bersama MKN minggu ini dan akan mengusulkan beberapa strategi baharu, bagi mengawal penularan Covid-19 di Selangor. - Bernama