KUALA LUMPUR- Tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity untuk perjalanan 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan akan mula dijual pada Selasa.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 24 perkhidmatan ETS dan 18 perkhidmatan KTM Intercity ditawarkan setiap hari.
Menurut kenyataan itu, KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan tambahan bagi tren ETS Business Class untuk laluan pergi balik KL Sentral-Butterworth menggunakan jadual waktu yang baharu.
Katanya, penjualan tiket itu membolehkan orang ramai membuat perancangan awal bagi perjalanan pulang ke kampung, bercuti dan perayaan Tahun Baru Cina.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang lebih rendah dan penjimatan berganda.
"Pembelian tiket awal juga membolehkan pengguna membuat pilihan tempat duduk berbanding pembelian pada saat akhir," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurut kenyataan itu juga, pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
"Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB," kata kenyataan tersebut.