PASIR MAS - Kesemua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di sempadan Malaysia-Thailand di sini, akan dikekalkan, meskipun ada beberapa pos milik mereka dinaiki air.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata, setakat ini, keadaan di tujuh pos kawalan yang menempatkan anggota ATM di sepanjang Pasir Mas hingga Jeli, masih belum sampai ke tahap genting, sehingga perlu berpindah.
"Ada pos yang dinaiki air sehingga paras 1.5 meter seperti di Pos Tok' Oh tetapi anggota masih dikekalkan di situ. Kesemua anggota masih menjalankan tugasan bagi menjamin keselamatan negara.
"Kesiapsiagaan tetap diutamakan walaupun dalam jua keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Jeram Perdah di sini hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi.
Mengulas lanjut, Zamsari berkata, setakat ini tinjauan yang dilakukan bersama PGA7 mendapati ada lima pos kawalan milik PGA telah dinaiki air dan tiga daripadanya terpaksa dipindahkan.
Katanya, kesemua 48 anggota PGA itu kini ditempatkan ke kawasan lebih selamat namun tugasan membuat ronda di sempadan tetap dilaksanakan.
"Pihak ATM bersama polis tetap menjalankan tugasan dan tahap kesiapsiagaan masih di tahap terbaik.
Setakat ini aset yang ada masih mencukupi, namun sekiranya keadaan semakin mengancam kita juga ada membuat perancangan lain yang lebih baik,” katanya. - Bernama