SHAH ALAM - Ugutan bunuh yang menyasarkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipercayai oleh anggota kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah isu serius yang menuntut tindakan segera daripada pihak kerajaan.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, sasaran terhadap Ayob Khan itu bukanlah bersifat peribadi sebaliknya ia seperti satu bentuk perleceh yang menginjak keupayaan, maruah serta wibawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh pasukan keselamatan dan penguatkuasaan.
"Bermakna, ia mencabar dan menggugat kedaulatan negara ini sendiri," kata Khairil menerusi satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ayob Khan terima ugutan bunuh terbaharu
Dalam pada itu, beliau menyifatkan ideologi radikal LTTE bukan lagi rahsia apabila 32 negara dan badan-badan perisikan dunia meletakkan status LTTE sebagai badan pengganas.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, Malaysia tidak perlu membuang masa membiarkan LTTE berkembang dalam negara ini kerana kegiatan dan suspek yang berkenaan sudah pun berada dalam rekod PDRM.
"Kerajaan mesti membuktikan bahawa undang-undang adalah kemurnian yang dapat mengekang isu seperti ini. Ideologi seperti LTTE yang mendapat sokongan dan simpati politik adalah mara bahaya paling besar kepada seluruh manusia dan dunia.
"Apatah lagi jika ideologi ini boleh mencapai kuasa dan berada di puncak pemerintahan sebagaimana yang pernah menjadi sejarah sebelum ini," katanya.
Menurut beliau lagi, cukuplah negara pernah mengalami derita berada di bawah pemerintahan Parti Komunis Malaya yang seboleh-bolehnya tidak mahu lagi dikenang.
"Kita tidak mahu individu penting seperti Datuk Ayob yang menjadi benteng rakyat menghadapinya, apatah lagi ke atas warga seluruhnya negara ini.
"Kami juga menggesa siasatan integriti menyeluruh dilakukan ke atas semua anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan negara dalam mengenal pasti dalang-dalang yang menjadi ejen penjenayah," katanya.
Tambah beliau, pembongkaran isu-isu 'curang' mutakhir ini sangat membimbangkan.
"Ini kerana selain politik yang menjadi ‘penjaga’ kepada kegiatan aktiviti seumpama, kewujudan anggota sedemikian dalam pasukan hanyalah menjadi ‘api dalam sekam’. Jangan lagi kita kehilangan pejuang-pejuang hebat seperti mana terjadi ke atas mendiang Sarjan Baharudin Ramli.
"Semua isu ini telah diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan diambil tindakan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard," katanya.
Sehubungan itu, Pemuda PN dan Pas menyokong penuh usaha PDRM hingga segala isu tersebut berjaya dibanteras.