Sawah jadi 'port' lepas gian

Iklan
Anak dan bapanya ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke sarang penagihan dadah dalam kawasan bendang di Permatang Tok Jaya, Kepala Batas di sini hari ini.

KEPALA BATAS - Dua beranak antara 25 orang yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan penagihan dadah dalam serbuan di Permatang Tok Jaya, Pekan Darat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua beranak berusia 17 dan 46 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis yang dilakukan bersama sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan dibuat susulan aduan penduduk berhubung kegiatan kumpulan penagih dadah itu yang menjadikan kawasan sawah sebagai sarang baharu untuk melepaskan gian.

Selain itu, katanya, penduduk juga mendakwa berlaku aktiviti pengedaran dadah secara terbuka di kawasan terbabit.

Iklan

"Dua beranak yang masing-masing bekerja sebagai pesawah ditahan ketika sedang menuju ke sarang dadah berkenaan.

"Bapanya mengakui sebelum ini pernah tegur dan marah apabila mengetahui anaknya terlibat dengan dadah. Disebabkan itu dia membawa anaknya bersama ke port berkenaan kononnya bagi memantau anaknya agar tidak mengambil dadah secara berlebihan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kesemua penagih dadah dibawa ke IPD SPU untuk tindakan lanjut.

Iklan

Noorzainy berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia sekitar 60-an selepas dia cuba merempuh anggota serbuan ketika mahu meloloskan diri.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu gagal mengawal kereta yang dipandunya sebelum terjunam masuk ke dalam parit.

"Dalam kejadian itu, anggota polis dan AADK berjaya menyelamatkan diri selepas melihat suspek cuba merempuh mereka.

"Dia yang panik gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke dalam parit dan berjaya ditangkap oleh pasukan serbuan,” katanya.

Noorzainy berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sebanyak 3.16 gram heroin dan ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemuanya positif dadah.

Menurutnya, seramai 22 orang yang ditahan diserahkan kepada AADK bagi siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983, manakala tiga orang lagi akan direman untuk siasatan lanjut.