HASRAT Tottenham Hotspur untuk bangkit melakar kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian apabila tewas kepada Leicester City 2-0 di Stadium Tottenham Hotspur pada Ahad.
Pengendali Spurs, Jose Mourinho menyifatkan permulaan hambar para pemainnya terutama pada babak pertama menyaksikan mereka terpaksa akur tewas dalam perlawanan tersebut- menambah derita yang dialami mereka selepas tewas kepada Liverpool 1-2 minggu lalu.
"Kami bermula dengan buruk. 20 minit pertama merupakan prestasi yang amat buruk. Terdapat beberapa kawasan kosong dalam ruang, ketika memberikan tekanan, sikap dan saya langsung tidak menggemarinya.
"Kemudian kami mengubahnya dan menyesuaikan diri dan mempunyai waktu mendominasi dan mencipta peluang namun ia bukan minggu yang sempurna jika bercakap dari aspek keputusan. Kami mampu berada di sini sebagai pasukan pemusnah rekod Liverpool di Anfield dan beraksi perlawanan hari ini dengan lebih bersemangat.
"Kami memulakan perlawanan ini dengan sedikit kekecewaan dan itu bukan yang kami mahukan namun Leicester juga tumpas dalam perlawanan terakhir mereka. Bagaimanapun, mereka mempunyai semangat positif. Ia adalah aksi di mana kami tewas menerusi penalti dan gol sendiri," katanya.
Dalam perlawanan itu, Jamie Vardy membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama sebelum gol sendiri pertahanan Spurs, Toby Alderweireld memastikan tiga mata buat pasukan pelawat.
Sementara itu, Mourinho tidak menyalahkan Sergie Aurier selepas pemain itu merempuh pemain Leicester, Wesley Fofana sekali gus memberikan penalti yang disudahkan dengan sempurna oleh Vardy.
"Ia satu kesilapan tetapi ia berlaku pada minit ke-45 atau 46. Kemudian ada pemain lain yang melakukan kesilapan di kawasan lain. Saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana melakukan kesilapan.
"Penalti itu bukanlah penalti yang dirancang. Ia adalah penalti yang kami berikan. Ia bukan sesuatu yang dirancang, yang dihasilkan daripada satu urutan yang hebat dan bagi saya, ia terkeluar daripada konteks kerana ia adalah tempoh terbaik kami dalam babak itu," katanya.