KDA FC perkenal muka baharu

Iklan
Rozaimi antara muka baharu yang bakal menggalas cabaran KDA FC musim depan. - Foto FB Johor Southern Tigers

KEHADIRAN beberapa muka baharu dan penampilan semula bekas pemain dalam pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka akan memperkuatkan lagi skuad itu bagi menghadapi saingan musim 2021 terutama dalam aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Shahrin Sahak yakin pasukan bimbingannya itu juga bakal meraih pelbagai kejayaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan sekiranya barisan pemain meningkatkan prestasi mereka dalam setiap perlawanan dihadapi.

Iklan
Iklan

"Sasaran kami adalah untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super. Kami akan memberi fokus serta konsisten dalam setiap perlawanan dihadapi,” kata jurulatih dari Singapura kepada Bernama hari ini.

Semalam, KDA FC menerusi hantaran di Facebook mengumumkan beberapa muka baharu yang akan beraksi bersama pasukan itu seperti Rozaimi Abd Rahman dari Johor Darul Ta’zim II, Rodney Celvin Akwensivie dari Selangor dan bekas penjaga gol Terengganu FC, Ilham Amirullah Razali.

Iklan

Pasukan itu turut mendapat kembali khidmat bekas pemain mereka seperti Ariff Farhan Md Isa dari Felda United dan Mohd Syazwan Zainon dari Selangor.

Mengenai pemain import pula, Aidil Shahrin berkata, khidmat tiga pemain import - Renan Alves (Brazil), Kpah Sherman (Liberia) dan Brice Hermann Tchetche Kipre (Ivory Coast) dikekalkan manakala kontrak Amir Nazari (Filipina) dan Muhammad Shakir Hamzah (Singapura) tidak disambung.

Iklan

Katanya, pengurusan KDA FC akan membuat pengumuman rasmi mengenai pemain baharu yang akan mengisi kuota Asia dan ASEAN pada majlis pengenalan pasukan di Alor Setar pada 15 Januari tahun depan.

KDA FC layak ke Piala AFC 2021 setelah muncul naib juara Liga Super musim ini dengan mengumpul 22 mata dari 11 perlawanan (tujuh kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan).

Ini adalah penampilan ketiga pasukan itu dalam kejohanan kelab kedua berprestij di Asia sejak 2008 dan 2009 dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada 2008. - Bernama