PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan percaya pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai perancangan tersendiri dalam membentuk karier penyerang sensasi, Safawi Rasid.
Menurutnya, kepulangan Safawi yang tidak berpeluang membuat sebarang penampilan dengan skuad utama Portimonense SC bukanlah satu pengakhiran terhadap karier pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu di luar negara.
"Safawi masih muda dan ini adalah proses untuknya mengenali bola sepak di luar negara. Saya percaya TMJ (Tunku Mahkota Johor) mempunyai perancangannya dengan menghantar Safawi bermain di Portugal.
"Pengalaman yang dimiliki Safawi itu sangat penting kerana dia dah tahu apa yang diperlukan untuk bermain di luar negara. Mungkin dia tidak bernasib baik kali ini, tetapi untuk masa akan datang saya yakin dia akan berjaya di kelab lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Safawi bawa impian besar ke Portugal
"Saya bagi contoh, (penyerang Thailand) Terasil Dangda. Dulu dia pernah dapat tempat di Manchester City, tetapi tidak berjaya masuk kesebelasan utama. Dia balik ke Thailand dan selepas beberapa tahun, sekarang dia mendapat kepercayaan untuk menjadi penyerang di kelab Jepun.
"Ramai juga pemain dari Jepun yang sudah mencapai usia 27 dan 28 tahun beraksi di Eropah. Ini adalah proses sebagai seorang pemain profesional. Bukan mudah untuk seseorang pemain Asia menembusi skuad utama kelab di Eropah,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Tunku Ismail mengesahkan bahawa Safawi akan kembali menyarung jersi JDT musim depan selepas dipinjamkan ke Portimonense SC pada Oktober lalu.
Perkhabaran itu sekali gus menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu tidak menghabiskan tempoh kontrak pinjamannya bersama kelab tersebut yang sepatutnya berakhir pada Mei tahun depan.
Mengulas lanjut, Sathianathan menyifatkan keputusan membawa pulang Safawi ke tanah air adalah tepat memandangkan penyerang Harimau Malaya itu memerlukan aksi perlawanan kompetitif.
"Walaupun Safawi tidak bermain dalam skuad utama dan hanya mewakili pasukan Bawah 23 tahun Portimonense, tetapi pendedahan yang dia dapat itu sangat bagus.... bukan saja kepada JDT tetapi juga pasukan kebangsaan.
"Apabila Safawi pulang ke Malaysia, dia akan terus berusaha bagi meningkatkan kemampuan dirinya. Saya percaya peluangnya akan terbuka luas di kelab luar negara selepas ini,” jelasnya.