KUALA LUMPUR - Biasanya, apabila pulang ke rumah selepas penat seharian bekerja, melihat wajah insan tersayang menunggu kepulangan pasti akan membuatkan kita tersenyum.
Begitulah yang dialami oleh seorang lelaki bernama Haissazc Hisham, 25, apabila setiap kali pulang, beliau akan menari untuk menceriakan isterinya di rumah.
"Saya tidak ingat berapa kali saya menari tetapi setiap hari pulang ke rumah, buka sahaja pintu, saya terus mulakan langkah untuk menari.
"Saya menari sekadar suka-suka sahaja tetapi ia tetap menghiburkan dan bahagiakan isteri saya yang menunggu kepulangan," katanya kepada Sinar Harian hari ini
Haissazc yang bekerja sendiri dan hampir lima bulan mendirikan rumah tangga, tidak menyangka video dimuat naik di aplikasi TikTok isterinya bernama @nuruldamiasofian menarik perhatian orang ramai.
"Saya memang tak duga, sangat tak sangka video ini boleh tular.
"Saya pun tak sangka isteri buat kompilasi video setiap kali saya balik rumah," katanya.
Dalam masa sama beliau memberitahu, segala bebanan di tempat bekerja sebaiknya tidak dibawa ke rumah.
"Saya boleh beritahu kalau hal kerja, biarkan berada di tempat kerja.
"Jangan bawa balik rumah. Bahagiakan pasangan setelah kita pergi kerja berjam lamanya," katanya.
Sebelum itu, Haissazc memohon maaf di Twitternya sekiranya tarian itu agak melampau.
"Maaf kalau nampak melampau sikit tariannya. 'I just want to make my wife happy' tiap kali saya balik dari kerja," ciapnya yang tular di laman sosial.
Sehingga kini, video berdurasi satu minit itu telah ditonton 81,900 tontonan sejak dimuat naik di Twitter pada Ahad.
Video itu juga menerima lebih 30,000 tanda suka dan lebih 14,700 ciapan daripada netizen.
Rata-rata mereka terhibur dengan sikap bersahaja si suami untuk menggembirakan isteri hanya dikenali Nurul Damia.
Kata netizen dikenali Aqilah,"Dia punya gembira macam tiada masalah."
Dalam pada itu, ada juga netizen berkongsi kisah suaminya juga gemar menari dan menggembirakannya seperti mana Haissazc.
"Suami saya pun sama macam ni juga setiap kali dia beli barang mesti keluar kedai akan joget-joget buat saya gembira. Tengok kamu nampak macam kembar sikit sebab suami pun pakai cermin mata dan suka joget juga," ciap @lawanistore.