SINGAPURA - Daging ayam pertama yang dihasilkan di makmal membuat debut bersejarah di sebuah restoran di Singapura pada Sabtu lalu.
Daging kultur yang dipasarkan secara komersial oleh Eat Just itu pertama kali dihidangkan kepada pelajar berumur 14 hingga 18 tahun yang dijemput menghadiri pelancaran produk itu di 1880, sebuah restoran di Robertson Quay setelah mereka menunjukkan komitmen untuk membina planet lebih baik.
Acara itu bagaimanapun ditutup kepada media kerana langkah memerangi pandemik Covid-19.
Usahawan, Marc Nicholson yang mengasaskan 1880 menyifatkan daging kultur sebagai langkah pembaharuan untuk menyelesaikan isu perubahan iklim.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Eat Just, Josh Tetrick berkata, pelancaran tersebut membawa masyarakat lebih dekat kepada dunia di mana sebahagian besar daging tidak lagi memerlukan penggunaan antibiotik pada masa depan.
Awal bulan lalu, Singapura menjadi tajuk utama global selepas ia menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan daging dihasilkan di makmal.
Ketika itu, Eat Just yang berpusat di San Francisco mengumumkan mereka akan memasarkan nuget menggunakan daging dihasilkan daripada sel haiwan di makmal yang berasaskan teknologi mesra alam.
Perkembangan itu dilaporkan selepas Shiok Meats menjadi syarikat tempatan pertama di dunia menghasilkan udang galah dan udang kultur serta kejayaan TurtleTree Labs yang meraih anugerah kerana mencipta susu di makmal.
Jutaan dolar telah dilaburkan di Singapura dan negara ekonomi lain seperti Amerika Syarikat (AS) untuk membangunkan daging kultur tersebut atau daging berasaskan sel yang merupakan kaedah terbaharu dalam bidang teknologi pemprosesan.
Standard tinggi untuk pengawalseliaan keselamatan makanan di negara bandar itu sememangnya diperakui dan mungkin menjadi salah faktor yang meyakinkan Eat Just untuk melancarkan produk mereka di negara tersebut.
Daging dihasilkan di makmal juga adalah lebih dekat dengan ‘Kisah Makanan Singapura’ atau Singapore Food Story, satu inisiatif dilancarkan pemerintah untuk memperkukuhkan keselamatan makanan di negara itu.
Pada tahun 2019, pasaran daging alternatif secara keseluruhan berjumlah AS$14 bilion (RM56.8 bilion) yang merupakan satu peratus daripada industri daging global bernilai AS$1.4 trilion (RM5.7 trilion).
Firma perkhidmatan kewangan, Barclays bagaimanapun menganggarkan peningkatan sebanyak 10 kali ganda kepada AS$140 bilion (RM568 bilion) menjelang 2029.
Kultur tisu daripada sel haiwan dan tumbuhan bukan satu teknologi baharu kerana sebelum ini ia pernah digunakan untuk menghasilkan klon hasil pertanian tinggi yang penting seperti getah serta pisang.
Tetapi, kemajuan luar biasa dalam sains molekul, teknologi kultur sel, kejuruteraan bioreaktor dan sains makanan memungkinkan untuk mengumpulkan sel kepada tisu yang menyerupai daging daripada haiwan yang disembelih.
Dalam industri makanan, adalah sangat penting bagi pihak berwajib untuk menggunakan kriteria ‘telus’ dan proses berasaskan sains untuk mengatur makanan baharu.
Lebih selamat
Perubahan iklim juga menambah tekanan yang besar kepada sistem makanan yang mungkin akan mempercepatkan kemasukan daging kultur di peringkat global.
Tanpa kita sedar, industri ternakan adalah sumber utama gas hijau kerana ia menggunakan ruang seperti tanah dan sumber air yang menghasilkan pencemaran apabila sisa kotoran haiwan tidak dibersihkan.
Perkara di atas dengan sendirinya membentuk hujah-hujah yang meyakinkan supaya beralih kepada daging dihasilkan di makmal yang lebih selamat dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Selain itu, daging kultur dihasilkan dalam bekas steril (bioreaktor) yang tidak menggunakan antibiotik sekali gus tidak akan mencetuskan kebimbangan tentang penyebaran bakteria toksik.
Menurut Eat Just, ujian keselamatan mendapati ayam kultur mempunyai kandungan mikrobiologi sangat rendah dan jauh lebih bersih berbanding ayam tradisional.
Segelintir pihak mungkin ragu-ragu untuk memakan daging kultur tersebut dan mempersoalkan statusnya kerana ia adalah makanan yang diproses melibatkan teknik kimia dan fizikal yang menghasilkan struktur daging daripada sel.
Pesaing utamanya pula adalah protein berasaskan tumbuhan yang menunjukkan perkembangan pesat dan kedua-duanya juga mempunyai persamaan kerana menggunakan tumbuhan sebagai bahan bagi menghasilkannya.
Syarikat protein berasaskan tumbuhan seperti Impossible Foods and Beyond Meat telah memasarkan produk mereka secara komersial sejak beberapa tahun lalu yang turut membuat banyak perubahan kepada diet vegetarian dan omnivor.
Ketika ini, daging kultur sudah mula mendapat sambutan jenama restoran makanan segera terkenal, McDonald’s apabila ia mengumumkan bakal melancarkan daging berasaskan tumbuhan, McPlant pada 2021 selepas menguji pemasaran burger PLT dihasilkan bersama Beyond Meat di Kanada pada tahun ini.
Bagaimanapun, beberapa pihak melihat gabungan harga dan sifat daging kultur itu mungkin bakal menjadi halangan terbesar kepada projek tersebut memandangkan kos input pengeluaran masih tinggi.
Eat Just dikatakan telah memperoleh dana kira-kira AS$200 juta (RM812 juta) sebelum daging kultur bernilai AS$2 bilion (RM8 bilion) itu dipasarkan.
Antara pemberi dana mereka adalah taikun Hong Kong, Li Ka-Shing dan firma pelaburan, Khosa Ventures.
Jurucakap Eat Just juga cuba memberi jaminan dengan menyatakan mereka telah membuat kemajuan yang cukup besar untuk mengurangkan kos.
Menjelang tahun 2050, pengambilan daging diramalkan meningkat kepada lebih 70 peratus dan daging kultur sebagai alternatif akan memainkan peranan penting untuk memastikan bekalan makanan tersebut mencukupi. - Agensi