Empat beranak terkandas di Thailand selamat pulang ke tanah air

Iklan
Foto 123RF

PASIR MAS - Empat beranak yang terkandas di Thailand sejak Mac lepas akhirnya berjaya dibawa pulang ke Malaysia melalui pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini hari ini.

Mereka ialah Sakina Museh, 38, serta tiga anak lelakinya iaitu Muhamad Adam Daniel, 12, Muhamad Arash Raihan, 7, dan Muhamad Muhaimin Putra, 4.

Iklan
Iklan

Sejurus tiba di kompleks itu, keempat-empat beranak dihantar ke Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri di Kota Bharu pada 2 petang untuk dikuarantin selama 10 hari.

Penyelaras Pusat Kuarantin Kelantan, Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee berkata, mereka akan menjalani ujian calitan bagi Covid-19 esok manakala ujian kedua pada hari kelapan.

Iklan

"Ketika diambil dari pintu sempadan dan dihantar ke sini, kesemua petugas menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) selengkapnya.

"Di pusat kuarantin, kita mempunyai semua kelengkapan dan semua 26 petugas daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis dan Rela sedia menjalankan tugas dengan penuh berhemah," katanya kepada pemberita.

Iklan

Sementara itu, Sakina ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur kerana berjaya kembali ke tanah air selepas terkandas selama sembilan bulan di negara jiran apabila pintu sempadan kedua-dua negara ditutup susulan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kepulangan mereka dibantu Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla dan Gabenor Wilayah Narathiwat.

"Saya kini hanya memikirkan nasib tiga anak lelaki saya termasuk dua yang akan bersekolah selepas kematian bapa mereka pada September tahun lepas akibat kanser.

"Sebelum ini, memang kami hidup susah kerana arwah suami sudah dua tahun tidak dapat bekerja. Mujurlah ada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor yang menghulurkan bantuan," katanya yang akan kembali ke rumah sewa mereka di Cheras selepas tamat tempoh kuarantin.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Sakina terkandas bersama tiga anaknya di Yala, Thailand kerana pintu sempadan negara ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia yang bermula pada 18 Mac lepas.

Sakina yang berasal dari Thailand, kembali ke negara itu bersama tiga anaknya pada 16 Mac untuk memperbaharui visa perjalanan yang telah tamat tempoh.

Wanita itu berkahwin dengan warga Malaysia, Mohd Roi Ab Rahman yang berasal dari Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas. - Bernama