TANPA modal, tanah atau pengetahuan dalam pertanian, N Navanith Pillay, 34, nekad beralih dari dunia korporat ke sektor pertanian apabila melihat masa depan bidang itu jauh lebih cerah daripada kerjaya diceburinya.
Pengarah Urusan NP Asia Sdn Bhd serta Rakyat Media Industries Sdn Bhd itu berkata, beliau terlibat dalam industri penerbitan dan pengiklanan selama 10 tahun.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Alex berkata, syarikatnya menerbitkan beberapa direktori khas untuk kementerian dan jabatan kerajaan, selain beliau menjadi seorang penasihat bagi beberapa syarikat pengurusan tanaman di negara ini.
"Dengan menjadi penerbit dan penasihat, saya dapat mengenali industri pertanian dan asas tani secara mendalam sehingga timbul minat dalam diri untuk menceburi dunia ini.
"Pada Mei tahun lepas, saya mula mencari maklumat berhubung pertanian di Google dan YouTube bagi mendapatkan informasi mengenai bagaimana menjadi seorang jutawan pertanian,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Alex menjelasan, tertarik dengan satu maklumat berhubung penanaman nanas MD2 sebagai sumber kekayaan baharu, beliau segera merujuk kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Selangor bagi mendapatkan khidmat nasihat awal.
Berbekalkan modal kira-kira RM300,000 yang berjaya diperoleh, beliau mula mengusahakan 10 hektar tanah di sebuah ladang di Bestari Jaya, Kuala Selangor iaitu di kawasan Selangor Fruit Valley di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.
Menerusi kertas kerja yang dihasilkan, Alex berjaya meyakinkan LPNM dan memperoleh 50,000 sulur (benih) nanas secara percuma dan Jabatan Pertanian Daerah Gombak pula membantu membuat ujian kesuburan tanah tanpa mengenakan sebarang caj.
Alex kemudiannya menghadiri kursus dengan syarikat perunding pertanian, Presica Sdn Bhd untuk mendalami ilmu penanaman nanas dan syarikat itu bersedia menjadi perunding dengan bayaran minimum.
Beliau turut mendapatkan khidmat nasihat selain menghadiri pelbagai kursus dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan berkat kegigihannya, Alex dijangka akan menikmati hasil tuaian pertamanya April tahun hadapan.
Alex berkata, beliau bersyukur segala urusannya dipermudahkan dan turut terpilih sebagai penerima Geran Agropreneur Muda 2020 Fasa 1 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk golongan belia bawah 40 tahun.
"Kerajaan sememangnya memberikan bantuan dan sokongan sewajarnya untuk menggalakkan anak muda terbabit dalam pertanian jadi mereka tidak seharusnya melepaskan peluang ini kerana bidang pertanian sudah moden dengan penggunaan teknologi terkini,” katanya.
Kini, Alex dalam proses menanam jagung manis di tanah berkeluasan 2.4 hektar yang boleh dituai dalam tempoh 65 hari supaya kutipan hasil itu mampu menyokong kos penanaman nanas MD2.
Beliau juga merancang untuk membangunkan kilang pemprosesan buah-buahan tempatan yang akan menghasilkan santan segar menggunakan 100 peratus kelapa tempatan dan produk buatan Malaysia yang berkualiti.
"Kilang ini juga akan memproses dan melakukan pembungkusan bagi jus segar nanas MD2, jus tebu segar, jus kelapa muda dan pembungkusan buah-buahan tempatan sedia dimakan serta minyak kelapa dara," katanya.