JEMPOL - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui Yayasan RISDA mengagihkan zakat korporat hasil daripada keuntungan ladang yang diurus oleh syarikat milikannya.
Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, urusan penyaluran bantuan akan lebih mudah di bawah kendalian yayasan itu, sekali gus mencapai matlamat dan objektifnya.
Menurutnya, bayaran zakat korporat diperolehi daripada keuntungan hasil ladang RISDA yang diuruskan oleh RISDA Estates Sdn Bhd.
"Bayaran zakat tersebut pada masa ini dikemukakan terus kepada Majlis Agama Islam Negeri/Pusat Zakat Negeri dan sebahagian daripada wang zakat tersebut akan dikembalikan semula untuk diagihkan sendiri oleh RISDA kepada kumpulan sasar RISDA yang layak mengikut kategori-kategori asnaf yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA Negeri Sembilan 2020 di Kampung Orang Asli Panchor di sini baru-baru ini.
Menurutnya, Yayasan RISDA telah menerima pemulangan zakat dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sebanyak RM221,000 pada tahun ini.
Selain itu, katanya, sehingga kini lebih 2,000 komuniti RISDA menerima manfaat dan faedah di bawah Skim Bantuan Yayasan RISDA dengan jumlah bantuan hampir RM1 juta.
"Objektif penubuhan yayasan ini ialah untuk mengurus dan mentadbir dana untuk faedah dan manfaat komuniti RISDA iaitu pekebun kecil, warga RISDA dan Syarikat Milikan RISDA dalam bidang pendidikan, kebajikan, kesihatan dan aktiviti rangsangan sosio ekonomi.
Beliau berkata, ia merupakan aspek tanggungjawab sosial korporat dalam usaha mengurangkan dan merapatkan jurang kemiskinan bagi masyarakat luar bandar khususnya.
"Visi Yayasan RISDA pula ialah menjadi peneraju kepada kesejahteraan komuniti RISDA dan misinya ialah menyedia dan menyelaras dana serta bantuan ke arah peningkatan kesejahteraan komuniti RISDA.
"Kita tidak mahu ada yang ketinggalan dan berharap dengan bantuan disalurkan menerusi yayasan ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan terutama mereka yang berada di bawah kategori kumpulan asnaf,” katanya.
44 penduduk Kampung Orang Asli Panchor terima bantuan zakat
Seramai 44 penerima zakat dari Kampung Orang Asli Panchor di sini meluahkan rasa syukur kerana menerima bantuan zakat buat pertama kali daripada RISDA.
Zulkiffli Bahari, 55, berkata, dalam keadaan rakyat yang terkesan dengan situasi penularan Covid-19, ditambah pula dengan musim tengkujuh yang mula melanda negara, bantuan zakat diterima sangat membantu.
"Sebagai penoreh, kehidupan saya sekeluarga sangat bergantung kepada bantuan RISDA. Sekarang ini pula musim hujan, nak pagi menoreh pun susah. Kadang-kadang pagi pergi menoreh, petang dah habis kerana hujan.
"Jadi bila ada bantuan wang zakat diterima buat pertama kali ini setidaknya dapat membantu meringankan beban kami,” katanya.
Azizah Abdullah, 40, pula berhasrat menggunakan bantuan yang diterima sebagai modal untuknya memulakan semula perniagaan makanan kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, perniagaannya sedikit terjejas.
"Saya mula berniaga sebelum ini pun semuanya menggunakan modal bantuan diterima daripada RISDA untuk beli khemah dan alatan lain. Terima kasih sangat kepada RISDA yang tidak pernah mengabaikan kebajikan kami,” katanya.
Selain itu, Rohana Bujang, 50, yang baru memeluk agama Islam tahun lalu berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan itu.
"Saya pun hanya bekerja sebagai penoreh getah. Suami pula terkandas di Indonesia selepas pulang ke sana sebelum pelaksanaan PKP lalu.
"Saya akan gunakan bantuan ini sebaik mungkin,” katanya.