Gojo, Matta kerjasama mudahkan urusan pengangkutan pelancong

Iklan
Pradeep (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Operasi Gojo, Shaharul Bahrin Nahruddin (kiri) mewakili Gojo, manakala Matta diwakili Timbalan Presidennya, Mohd Akil Mohd Yusof (kiri) dan Naib Presiden Matta untuk Pengangkutan Darat, Subramaniam Kandasamy.

GOJO baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) untuk memudahkan urusan pengangkutan bagi pelancong dengan menggunakan kenderaan e-hailing.

Pengarah dan Ketua Pegawai Operasinya, Pradeep Kumar berkata, sejak penularan wabak Covid-19, pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan di negara ini dan proses pemulihan belum dilihat keberkesanannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi kerjasama yang itu, syarikat pengangkutan pelancongan akan dibawa ke platform e-hailing Gojo untuk menerima tempahan perjalanan berdasarkan permintaan dan ia secara tidak langsung membantu menambah pendapatan mereka.

"Semua pemandu kenderaan pelancongan juga layak menyertai program Gojo Founder’s Fund iaitu program pembahagian keuntungan yang direka untuk melindungi kehidupan pemandu dalam keadaan sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Pradeep berkata, melalui teknologi mobiliti canggih, pemandu Matta akan mendapat akses kepada ciri pintar yang melindungi kesihatan dan keselamatan mereka di jalan raya terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Katanya, Teknologi Pengenalan Muka Gojo akan dapat mengesan sama ada pemandu memakai topeng muka sebelum menerima tempahan dan ciri Nota Suara Gojo pula akan membolehkan pemandu berkomunikasi secara bebas tangan dengan pelanggan.

Iklan

"Untuk meraikan pelancaran perkongsian ini dan untuk menyokong syarikat pengangkutan pelancongan, setiap kenderaan akan memperolehi kredit e-wallet segera bernilai sebanyak RM250 di mana promosi ini adalah sah sehingga 31 Mac 2021. Pelanggan Matta juga boleh menikmati potongan 10 peratus untuk perjalanan Gojo pertama mereka," katanya.

Beliau berkata, kerjasama bersama Matta adalah bukti komitmen Gojo kepada masyarakat setempat dan syarikat itu ingin membantu memulakan proses pemulihan pelancongan domestik.

Gojo dilancarkan di Malaysia pada Ogos lalu dan terdapat lebih 100,000 pelanggan aktif menggunakan perkhidmatan e-hailing dan penghantaran oleh pemandu Gojo khusus di platform setiap hari.