KUALA LUMPUR - Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membantu proses pemulihan ekonomi negara daripada impak Covid-19 terutamanya dalam mempertingkatkan akses barangan atau produk tempatan ke pasaran negara-negara peserta RCEP, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak industri tempatan boleh menikmati layanan istimewa melalui penghapusan dan pengurangan tarif secara progresif.
"Selain tarif, pengurangan halangan bukan tarif yang merupakan salah satu cabaran utama dalam menembusi pasaran antarabangsa juga merupakan manfaat utama penyertaan Malaysia dalam RCEP.
"Ini boleh dicapai menerusi penyelarasan tatacara import dan eksport, pengiktirafan secara timbal balas dan penerimaan standard industri dan teknikal negara masing-masing serta perkongsian maklumat,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Mohan Thangarasu.
Mohan ingin tahu mengenai sejauh mana penyertaan Malaysia dalam RCEP dijangka membantu proses pemulihan ekonomi daripada impak Covid-19.
Mohamed Azmin berkata, menerusi unjuran awal Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) selaku agensi di bawah kementerian itu, Malaysia akan memperoleh peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM16 bilion setahun setelah RCEP berkuatkuasa.
Katanya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang bertanggungjawab terhadap promosi dan pembangunan perdagangan Malaysia pula membuat unjuran prestasi eksport Malaysia ke pasaran RCEP akan meningkat sebanyak RM21 bilion setahun.
Menurut beliau, syarikat-syarikat tempatan juga dapat memperkukuhkan integrasi dalam rantaian nilai dan bekalan global dengan pembekalan bahan mentah, komponen, barangan separa siap dan siap di pasaran RCEP.
"Integrasi ini diperkukuhkan lagi melalui peraturan asal yang lebih mudah digunakan berikutan keseragaman di antara kesemua negara peserta RCEP.
"Penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang juga akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar dari segi penawaran rentas sempadan dan mewujudkan keberadaan komersial di pasaran RCEP,” katanya.
Mohamed Azmin turut menegaskan, perjanjian RCEP dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan Malaysia pasca-Covid-19 menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan dan integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian nilai serantau. - Bernama