J-KOM fokus inisiatif golongan OKU: Saifuddin

Iklan
Saifuddin ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Selain pembudayaan normal baharu, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan turut memperbanyakkan inisiatif yang melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) di peringkat awal penubuhan jabatan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, matlamat J-KOM adalah untuk mengadakan hubungan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dan dalam konteks itu golongan OKU adalah antara kumpulan yang perlu diberi tumpuan.

Iklan
Iklan

"Dari segi dana, Insya-ALLAH dananya mencukupi tetapi pada masa yang akan datang, kalau kita memikirkan contohnya siaran televisyen yang khusus untuk OKU atau mungkin sahaja TV OKU, pada masa itu kita akan mendapatkan dana tambahan yang sewajarnya,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ras Adiba Radzi yang ingin tahu sekiranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyediakan suntikan dana atau peruntukan khas melalui peruntukan J-KOM.

Iklan

Terdahulu, menjawab soalan asal Ras Adiba yang ingin tahu usaha KKMM dalam mewajibkan semua stesen, portal dan saluran berita mesra OKU, Saifuddin berkata, kementerian sentiasa menggalakkan stesen penyiaran menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat, penerangan audio, komunikasi alternatif dan augmentif di bawah rancangan kelolaan mereka.

Katanya, RTM sebagai contoh telah memanfaatkan empat saluran televisyen secara berterusan dengan melaksanakan inisiatif yang memudahkan penonton OKU menikmati perkhidmatan penyiaran terutama menerusi siaran berita.

Iklan

"Di Bernama, saya difahamkan akan mula menggunakan jurubahasa isyarat bermula awal tahun depan dan saya harap, Yang Berhormat (Ras Adiba) sendiri dapat mempelopori usaha di mana mungkin ada penyampai berita di Bernama yang menyampaikannya secara biasa tetapi ada juga jurubahasa isyarat pada waktu yang sama,” katanya. - Bernama