SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Seorang Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Imigresen Malaysia didakwa di sebuah hospital di Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah sebanyak RM3,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan berhubung suatu siasatan, November tahun lalu.
Zulkifly Abd Za’par, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Memandangkan tertuduh masih menerima rawatan penyakit darah tinggi dan sakit jantung di hospital tersebut dan tidak dapat hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur, hakim memutuskan untuk menuduhnya di hospital.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memperoleh secara rasuah bagi dirinya sebagai ejen jabatan itu, suatu suapan daripada seorang lelaki melalui pihak ketiga iaitu iaitu seorang wanita sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kertas siasatan yang disiasat.
Kesalahan didakwa dilakukan di Presint 3, Putrajaya pada 21 November 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria mencadangkan jaminan RM15,000 dan tertuduh yang diwakili peguam SM Rishee tidak membantah jumlah ikat jamin tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga dikehendaki hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan memerintahkan larangan untuk mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada berjumpa atau dalam bentuk maya seperti laman sosial dan sebagainya.
Mahkamah menetapkan 21 Januari 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum itu, prosiding sebutan kes tersebut telah berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, namun Siti Noor Hafizan memaklumkan tertuduh tidak dapat hadir kerana masih menerima rawatan.
Pada masa sama, penjamin kepada tertuduh iaitu adiknya yang hadir turut mengemukakan surat-surat perubatan yang kemudian Azura memutuskan untuk ke hospital bagi mengambil pengakuan tertuduh terhadap pertuduhan itu.