SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) menyambut baik cadangan supaya proses pendaftaran bagi parti atau persatuan berkaitan politik diletakkan di bawah pentadbiran dan pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia bertujuan bagi mengelakkan kekeliruan atau konflik oleh agensi yang kini terletak di bawah kerajaan.
Menurutnya, SPR pula merupakan agensi yang sepatutnya bertindak berkecuali dengan menetapkan satu pilihan sesuai bagi menguruskan pendaftaran parti politik seperti Muda Malaysia.
"Justeru, kami di pihak Muda amat berharap agar proses pendaftaran parti ini dapat diselesaikan dengan lancar dan segera selepas ini.
"Itu harapan kami,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Selasa.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow selain menerima pelbagai pendapat dan reaksi daripada orang ramai mengenai perkara terbabit.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, merujuk kepada Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara Malaysia berhak untuk membentuk persatuan.
"Jadi, kami di sini ingin menegaskan hak kami seperti yang tertakluk di dalam perlembagaan berkenaan.
"Hak individu untuk berpersatuan ini juga jelas termaktub di bawah undang-undang antarabangsa seperti Perkara 20 dan 23 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) dan Perkara 22 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politikal (ICCPR) 1966,” katanya.
Isnin lalu, Syed Saddiq bersama penyokong Muda Malaysia hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi menyerahkan 'letter of demand' atau surat tuntutan terhadap proses pendaftaran parti itu yang dibuat sejak 17 September lalu.