KEMAMAN - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau sendiri situasi semasa banjir di negeri ini termasuk melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini hari ini.
Beliau tiba pada jam 1.20 tengah hari sambil diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.
Dalam lawatan tersebut, Muhyiddin mengambil masa kira-kira sejam bagi mendengar taklimat mengenai situasi banjir di negeri ini, selain beramah mesra dan menyampaikan kit bantuan makanan kepada mangsa di PPS berkenaan.
Ketika ini, seramai 483 orang mangsa melibatkan 140 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Bukit Mentok.
Sehingga jam 2 petang ini, jumlah mangsa yang masih ditempatkan di PPS adalah seramai 999 orang melibatkan 257 keluarga.
Kesemua mereka kini ditempatkan di sembilan PPS di daerah Kemaman dan Dungun.
Sementara itu, seorang warga emas, Muda Awang, 77, berkata, dia sanggup menunggu lebih sejam semata-mata mahu melihat sendiri pemimpin nombor satu negara itu.
"Apabila mendapat tahu PM (Perdana Menteri) akan datang ke sini, saya memang teruja sebab bukan senang nak berjumpa dengan PM.
"Biasa kita hanya dapat tengok PM di televisyen tetapi hari ini dapat tengok depan mata. Terima kasih kerana sudi datang ke Kemaman," katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Pandan di sini.