ISKANDAR PUTERI - Bekas pemain Felda United, Danial Amier Norhisham bakal menyarung jersi Harimau Selatan bagi saingan musim liga hadapan selepas menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).
Daniel Amier, 23, pada mulanya terkejut apabila mendapat tahu pemilik JDT itu berminat melamarnya bagi memperkuatkan skuad Harimau Selatan pada musim lalu, namun atas beberapa faktor tidak dapat dimeterai.
"Saya sangat terkejut kerana bukan mudah hendak mendapat pengiktirafan daripada Tunku Mahkota sendiri, bukan semua pemain dapat. Ia memberi sumber motivasi kepada saya untuk bekerja lebih kuat bagi meningkatkan tahap permainan.
"Sebelum menyertai JDT lagi, saya sudah tahu bakal berdepan saingan sengit untuk mendapat tempat kerana pasukan mempunyai ramai pemain tengah yang berkualiti. Jadi, saya perlu keluar dari zon selesa dan mencabar diri sendiri untuk bersama pasukan yang boleh membantu perkembangan karier.
"Saya percaya pasukan seperti JDT mampu membantu saya untuk menjadi pemain yang lebih baik di tahap yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di sini, pada Selasa.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, beberapa rakan di kem JDT membantunya membuat keputusan untuk menjadi 'keluarga' Harimau Selatan pada musim hadapan.
"Sebelum saya ke sini, rakan-rakan seperti Safawai (Rasid), Akhyar (Rashid) dan Syamer (Kutty Abba) banyak memberi maklum balas positif mengenai pasukan itu sekali gus menguatkan lagi keinginan untuk menyertai JDT.
"Bagi musim pertama ini, saya berharap dapat membantu pasukan untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super. Apa yang penting saya perlu kerja keras bagi menghadapi persaingan dalam pasukan utama, soal risau sekadar memanaskan bangku simpanan tidak wujud," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora yakin kehadiran Danial Amier bakal memberi impak positif dalam skuad memandangkan pemain itu memiliki mentaliti juara.
"Danial Amier memiliki pengalaman bukan sahaja beraksi bersama Felda United malah dia turut membantu skuad Bawah 23 tahun kebangsaan apabila meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Soal kualiti tidak menjadi isu, kerana semua pemain dibeli JDT memiliki kelebihan tersebut. Apa yang penting dia perlu menyesuaikan diri dengan sistem dan cara JDT," katanya.