'Tak perlu bimbang kalau sudah melalui proses kelulusan'

Iklan
MUHAMMAD SANUSI

ALOR SETAR - Pemilik struktur binaan di Kedah yang telah melalui proses kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu bimbang kemungkinan binaan terbabit akan dirobohkan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang struktur akan dijamin keabsahannya oleh undang-undang jika pembinaannya selari dengan kehendak undang-undang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada sesiapa pun yang berhak memberi apa-apa jaminan di luar batas undang-undang negara ini.

"Sekiranya terdapat struktur yang dibina membelakangi undang-undang, alangkah baiknya jika ia dapat dipindahkan, dibuka atau dirobohkan sendiri pemiliknya tanpa penglibatan penguat kuasa undang-undang.

Iklan

"Bagaimanapun, pemilik struktur binaan tidak perlu bimbang sekiranya mereka sudah melalui proses kelulusan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian sebagai mengulas laporan sebuah portal mengenai desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya beliau memberi jaminan tidak akan ada lagi kuil di Kedah yang akan diroboh selepas ini.

Iklan

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, set undang-undang yang setara dan seragam untuk melindungi setiap warga amatlah penting untuk dipatuhi oleh semua pihak.

"Dengan demikianlah keharmonian dan keamanan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dapat dipupuk dan dipelihara sepanjang masa," katanya.