PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan peruntukkan RM250,000 bagi kerja-kerja pembaikan di Pulau Burung, Pantai Cahaya Negeri yang dijangka bermula awal Mac tahun depan.
Yang Dipertuan Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, kerajaan negeri pada peringkat awal telah menyediakan skop kerja-kerja pembaikan, namun terpaksa dirombak semula disebabkan fenomena air pasang besar di Port Dickson pada ketika ini.
"Kelulusan untuk skop kerja baharu telah diluluskan dan tawaran sebut harga akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di Pulau Burung berdekatan Pantai Cahaya Negeri mendapati beberapa kepingan papan di kawasan tumpuan pelancong itu mengalami kerosakan.
Kebanyakan pengunjung ketika ditemui melahirkan rasa bimbang dengan keadaan itu terutama kepada kanak-kanak.
Pengunjung, Masita Baba, 58, berkata, ini adalah kali pertama beliau berkunjung di Pulau Burung terkejut melihat pelantar papan di menara tinjau di situ yang sebahagiannya telah pecah.
"Ini kawasan tumpuan pelancong, sepatutnya pihak bertanggungjawab perlu membaikinya segera.
"Nampak tidak cantik kalau keadaan ini berterusan, kayu di pelantar menara tinjau banyak yang rosak dan pecah. Harap dapat dibaiki segera demi menjaga imej Port Dickson sebagai salah satu pusat peranginan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Noorizah Kasim, 38, pula berkata, keselamatan pengunjung terutama kanak-kanak perlu diberi keutamaan.
Katanya, kawasan dipenuhi pokok kayu bakar ini sangat indah dan tenang, namun jika dilihat kepada papan kayu yang pecah itu, rosak pemandangan sekeliling.
"Memang betul keselamatan pengunjung adalah di bawah tanggungjawab masing-masing, namun tidak salah jika pihak PBT menyediakan keselamatan yang lebih baik untuk pengunjung mereka,” katanya.