KUALA LUMPUR - Pelajar antarabangsa dibenarkan kembali ke kampus bagi sesi pengajian tahun depan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021, kecuali dari United Kingdom (UK) ekoran situasi terbaharu Covid-19 di negara itu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu merangkumi pelajar menyambung pengajian dan pelajar baharu yang telah mendapat tawaran daripada universiti awam dan swasta tempatan.
"Selain mendapat tempat di universiti mereka juga telah mempunyai kediaman, kita tidak mahu mereka datang baru nak mencari rumah kediaman, semua telah selesai, baru kita benarkan mereka datang,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju membenarkan pelajar bukan warganegara di sekolah antarabangsa dan swasta untuk kembali bersama pengiring mereka berkuat kuasa tarikh sama.
Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk hanya kepada pelajar sedia ada yang telah diluluskan permohonan dan mendapat visa daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Ismail Sabri berkata, kesemua pelajar dan pengiring berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk menjalani ujian calitan tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia serta di pintu masuk negara dan dikuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin.
"Kos ujian Covid-19 itu perlu ditanggung pelajar dan pengiring. SOP dan syarat terperinci mengenai pembelajaran di universiti akan diperinci dan diumum oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.
Ditanya sama ada pelajar Malaysia juga dibenar kembali ke kampus pada Januari depan, Ismail Sabri berkata KPT akan membuat pengumuman mengenai perkara itu.
Sementara itu, mengenai sama ada kerajaan akan menyekat penerbangan dari Britain susulan terdapat strain baharu Covid-19 yang dipercayai merebak di luar kawalan, beliau berkata perkara itu bakal diputuskan setelah memperoleh maklumat penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mengenai situasi strain baharu di Britain, seperti yang disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), mereka masih memantau. Kita akan mendapat laporan daripada KKM dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara.
"Jika perlu tindakan yang selanjutnya, kita akan umumkan...sama ada saya atau Dr Noor Hisham, setelah pemantauan dibuat terhadap kes virus yang begitu cepat merebak. Kita sedang meneliti perkara ini, (jadi) biarlah KKM yang buat penilaian risiko," katanya.
Katanya, Malaysia ketika ini masih menutup pintu sempadan negara secara keseluruhannya kecuali bagi sebab-sebab tertentu.
Media melaporkan beberapa negara seperti Eropah telah menyekat penerbangan dari Britain selepas mendapati kewujudan strain baharu di London, United Kingdom yang merebak di luar kawalan.
Menjawab mengenai perancangan kerajaan ketika ini ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan masih memantau perkara itu sebelum membuat sebarang pengumuman.
"Setakat ini, kita sedang melihat, mengkaji dan berbincang. Kementerian Luar (juga) akan terlibat...belum sampai waktunya lagi (untuk diumumkan). Keadaan boleh berubah dalam waktu terdekat ini. Ada perancangannya tetapi kita akan lihat keadaan semasa untuk kita umumkan," katanya. - Bernama