Aduan penipuan dalam talian paling banyak diterima KPDNHEP Kelantan

Iklan
Adnan (dua dari kanan) bersama Saiful Adli (kanan) membuat pemeriksaan harga terhadap barangan tersenarai di bawah harga kawalan yang dijual di Pantai Timor Hypermarket Sdn Bhd Pengkalan Chepa pada Selasa.

KOTA BHARU - Penipuan pembelian barangan dalam talian merupakan aduan terbanyak yang direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan tahun ini.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, daripada 829 aduan yang diterima, sebanyak 212 kes melibatkan penipuan pembelian dalam talian dan jumlah tersebut meningkat berbanding 183 kes pada bulan lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan aduan yang diterima melibatkan barang yang dipesan tidak sampai, saiz tidak tepat, barang rosak dan sebagainya.

"Jika kita lihat,aduan pembelian dalam talian masih lagi tinggi dan banyak berlaku penipuan dan ia menjadi masalah kepada pengguna.

Iklan

"Sebaik menerima aduan, kita lakukan siasatan dan tindakan yang sudah dibuat adalah mendenda peniaga barangan tersebut selain meminta pengadu merujuk perkara tersebutkepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia KPDNHEP Kelantan.

"Di Tribunal, mereka (penjual dan pembeli) akan dipanggil untuk bersemuka bagi menyelesaikan perkara tersebut. Biasanya pengadu akan mendapat balik barangan dibeli sekiranya cukup bukti yang dikemukakan," katanya kepada pemberita sempena melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2020 di Pantai Timor Hypermarket Sdn Bhd Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Iklan

Pelancaran disempurnakan Timbalan Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Saiful Adli Abu Bakar yang turut dihadiri Pengurus Kawasan Kumpulan Pasar Raya Pantai Timor, Tan Hock Beng.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, Seksyen Penguatkuasaan KPDNHEP Kelantan telah menghasilkan sebanyak 786 kes sepanjang tahun ini dengan nilai sitaan sebanyak RM3,436,182.13.

"Pada tahun ini juga sebanyak 502 kes kompaun telah dikeluarkan membabitkan nilaian sebanyak RM266,600,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah kes keseluruhan, Seksyen Penguatkuasaan KPDNHEP Kelantan menjalankan siasatan dan sebanyak 22 kes dibawa ke mahkamah dengan nilaian denda sebanyak RM293,600.

"Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 52,977 premis di sekitar negeri ini telah diperiksa," katanya.