ALOR SETAR - Kewujudan sebuah istana lama yang memiliki 1,001 kisah menarik di Jalan Kampung Baru, di sini, berkemungkinan tidak disedari umum.
Hakikatnya, monumen sejarah dikenali sebagai Istana Sepachendra adalah lambang kasih dipercayai dibina khas Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah buat isterinya, Che Sepachendera.
Bagaimanapun, bangunan bersejarah tiga tingkat berusia lebih 100 tahun yang masih kekal untuh sehingga ke hari ini berkenaan kini dikhuatiri makin uzur.
Sehubungan itu, Yayasan Tunku Kasim dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) bersama beberapa bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkan kawasan istana lama itu.
Pengerusi PSMCK, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, istana lama berkenaan bukanlah calang-calang, sebaliknya memiliki keunikan tersendiri.
Menurut beliau, istana yang turut dikenali sebagai Istana Kampung Baru berkenaan dibina menggunakan sejumlah putih telur dan manisan lebah pada 1882.
"Bagaimanapun, kita tidak tahu berapa putih telur dan manisan lebah yang digunakan, bagaimanapun saya yakin jumlah digunakan dalam pembinaan banyak berdasarkan keluasan istana itu.
"Istana Sepachendera adalah istana pertama Sultan Abdul Hamid di Alor Setar dibina untuk isterinya, Che Sepahchendera sebagai bukti cinta baginda," katanya.
Katanya, istana berkenaan dibina berpandukan seni bina Siam diadun ciri dan budaya Melayu bersesuaian dengan pembinaan monumen berkenaan yang dibina buat isteri baginda.
Sementara itu, cucunda Almarhum Sultan Abdul Hamid merangkap Pengerusi Yayasan Tunku Kasim berkata, bangunan sejarah itu memiliki nilai sejarah tinggi dan kisah tersendiri, antaranya beberapa putera puteri diputerakan di istana ini.
Antara putera puteri yang diputerakan di istana terbabit, termasuklah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kasim (Tunku Laksamana).
Tunku Mansor berkata, istana yang pernah menjadi tempat kelahiran ayahandanya, Tunku Kasim merupakan antara lambang kemegahan kerana keunikan reka bentuk dan ukirannya.
Menurut beliau, pada peringkat permulaan istana terbabit didakwa menjadi keutamaan buat golongan kerabat Diraja mendapat pendidikan awal mereka.
"Kemudiannya, istana dijadikan sebagai Sekolah Perempuan Kampung Baru pada 1922 iaitu sekolah Inggeris perempuan pertama di sini, atas usaha Tunku Ibrahim yang mementingkan sistem pendidikan selepas kemangkatan Che Sepachendra," katanya.
Menurut beliau, selepas itu, bangunan istana dijadikan Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim, diikuti Cawangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah selepas Sekolah Perempuan Kampung Baru dipindahkan ke lokasi lain.
"Apabila Sekolah Perempuan Kampung Baru dipindahkan ke Jalan Langgar, di sini. sebagai Sekolah Menengah Sultanah Asma, maka bangunan dijadikan Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan Cawangan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah," katanya.
Bangunan istana lama dibersihkan
Bagaimanapun, katanya, bangunan istana lama terletak berdekatan Sungai Raja, di sini, berkenaan kini didapati telah kembali kosong tidak berpenghuni ataupun digunakan lagi.
Menurut Tunku Mansor, disebabkan, pihaknya yang berasa bertanggungjawab memelihara istana berkenaan dengan mengambil insiatif melakukan gotong-royong untuk membersihkan kawasan istana itu.
"Untuk permulaan, kita bergotong-royong membersihkan kawasan istana kerana menyayangi mercu tanda itu, manakala untuk ke hadapan, kita berhasrat untuk membangunkan ia sebagai Galeri Sultan Abdul Halim.
Menurut beliau, pihaknya sedia berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan bangunan tinggalan sejarah yang berpotensi menjadi warisan itu dapat dipertahankan dan dikekalnya.
Manakala, Exco Perlancongan, Seni dan Budaya, Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya menyambut baik usaha membersihkan kawasan bernilai sejarah yang didakwa kurang diambil berat sejak kira-kira 20 tahun
Asmirul berkata, istana yang dibina menggunakan manisan lebah dan putih telur berkenaan sememangnya memiliki keunikan dan nilai warisan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
"Antaranya, kawasan istana berkenaan dicadangkan menjadi Galeri Sultan Abdul Hamid dan pusat sehenti (one stop centre) untuk aktiviti kesenian dan kebudayaan oleh Majlis Kebudayaan dan Kesenian Kedah.
"Jadi, kita harap mana-mana pihaknya berkaitan dapat bersama dengan kerjasama negeri untuk melaksanakan agenda bersama dalam usaha menaikkan kebudayaan sejarah di Kedah," katanya.
Katanya, usaha berkenaan memerlukan sokongan semua pihak termasuklah swasta untuk bergerak memandangkan ia tidak mampu bergerak sendiri demi merealisasikan hasrat menjadi ia sebagai mercu tanda itu.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya mungkin akan membuat perbincangan terperinci dengan pihak berkaitan, misalnya PSMCK untuk memastikan agenda penting sedemikian dapat dilaksanakan.
Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri memiliki agenda untuk mewujudkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam perlancongan untuk melaksanakan menaikkan pelancongan melibatkan tempat-tempat menarik di Kedah.