Prosiding permohonan Abdul Azeez didengar 25 Januari depan

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 12 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram yang dihadapinya akan didengar pada 25 Januari depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, S Kirubini kepada media selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noraziha Asmuni di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Pihak pendakwaan selaku responden akan memfailkan afidavit pada 6 Januari 2021, manakala afidavit jawapan akan difailkan oleh pihak peguam (mewakili pemohon) pada 13 Januari tahun depan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Azeez mohon batal 12 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Peguam, Joshua Tay yang mewakili Abdul Azeez berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Iklan

"Pihak kami telah memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas (11 Disember),” katanya.

Perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez dan abangnya, Datuk Abdul Latif telah berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dengan lima saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan akan bersambung pada 8 Februari tahun depan.

Iklan

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abangnya Abdul Latif dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018. - Bernama