Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau terdapat pengurangan pada pendapatan mereka tahun ini. Pencarum ini layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada akaun satu KWSP.
Namun begitu, pencarum yang layak ini diharap dapat menggunakan wang tersebut sebaik mungkin agar tidak terjerat dengan scammer yang sedang mula mengambil kesempatan menjerat mangsanya.
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menerima aduan kira-kira 20 kes dari pengguna Selangor yang telah ditipu oleh ejen-ejen pelaburan yang tidak sah ini di mana duit pelaburan mereka telah lesap begitu sahaja.
Di bawah ini merupakan beberapa modus operandi dan juga petua-petua perlindungan kendiri untuk rujukan pengguna supaya tidak tertipu dengan skim penipuan ini.
Ciri dan janji yang umumnya ada dalam sesuatu skim penipuan:
- Pengguna tidak pernah ditunjukkan produk yang kononnya berkualiti yang perlu anda jual, sebaliknya dibayar mengikut bilangan orang yang anda latih atau mendaftar diri.
- Pengguna diberitahu bahawa tawaran itu hanya untuk tempoh terhad dan anda mesti membelinya sekarang.
- Pengguna diminta memasukkan wang ke dalam bank asing dalam mata wang asing untuk mendapatkan suatu hadiah tetapi anda tidak pernah terlibat sebarang pertandingan atau cabutan bertuah.
- Pengguna menerima panggilan telefon menawarkan peluang-peluang pelaburan dan anda sendiri tidak tahu bagaimana syarikat itu mendapat nombor telefon anda.
- Pengguna ditawarkan satu produk pelaburan yang menjamin keuntungan besar tanpa sebarang risiko kewangan.
- Pengguna diminta melabur dalam satu skim pelaburan. Alamat dan maklumat perhubungan syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar kepada anda itu terletak di sebuah negara asing yang anda tidak dapat pastikan di mana kedudukan sebenar syarikat itu.
- Pengguna ditawarkan"hadiah percuma” untuk mendapatkan sesuatu kemudiannya, contohnya, sejumlah wang yang besar.
- Pengguna ditawarkan peluang pekerjaan dengan gaji besar tanpa memerlukan pengalaman dan kelayakan akademi yang berkenaan.
Perlindungan 1: Sentiasa periksa laman sesawang pihak pengawal selia, contohnya, laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.org.my) atau Suruhanjaya Sekuriti (www.sc.com.my), untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat perantara yang berlesen.
Perlindungan 2: Hindari sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil.
Contohnya,"Kami jamin anda akan memperoleh sekurang-kurangnya 20% hingga 30% sebulan, bagi setiap bulan daripada bermulanya pelaburan ini”,"risiko tinggi, pulangan tinggi!” Ambil langkah berhati-hati, terutama jika pelaburan itu kononnya akan memberi pulangan tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.
Perlindungan 3: Berhati-hati dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan.
Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah"downline” atau"piramid”.
Perlindungan 4: Jangan sekali-kali bersetuju untuk menyertai apa-apa"peluang” dalam keadaan mendesak.
Contohnya,"tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad” atau"beli sekarang, jika tidak, anda akan menyesal”. Ingatlah, jika perniagaan itu sah, ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.
Perlindungan 5: Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan tuntutan saman, terima hadiah dan sebagainya.
Jika anda menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah dan anda perlu mengirim sejumlah wang ke sebuah negara asing bagi membolehkan anda menuntut hadiah tersebut, letakkan telefon. Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan begini.
Perlindungan 6: Jangan berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum anda memastikan kesahihan syarikat itu.
Perlindungan 7: Jangan mudah memberikan nombor akaun sembarangan.
Contohnya, sindiket sengaja mengiklankan rumah sewa dengan kadar yang murah dan mangsa bersetuju diminta untuk memberikan nombor akaun dengan alasan penyewa lama ingin memasukkan tunggakan bil rumah berkenaan. Akibatnya, nombor akaun yang diberikan akan digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan mereka.
Perlindungan 8: Jangan mudah percaya dengan tawaran pekerjaan yang kedengaran begitu baik.
Sekiranya ditawarkan pekerjaan dengan pendapatan lumayan tetapi pengguna diminta untuk menggunakan nombor akaun sendiri untuk kegunaan syarikat adalah sangat tidak releven.
Untuk talian pengguna, pengguna boleh hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau 03-7803 6000. Boleh juga ajukan pertanyaan mengenai isu pelaburan atau pasaran modal Malaysia ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di talian 03-6204 8999 atau emel aduan@seccom.com.my atau talian telelink Bank Negara Malaysia (BNM) di 1-300-88-5465 atau emel, bnmtelelink@bnm.gov.my.
*Artikel ini dibawakan oleh FOMCA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna.