SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Tindakan segelintir wakil rakyat yang bertindak lompat parti menyebabkan rakyat keliru dan tidak yakin terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, Perlembagaan perlu dipinda bagi menghalang ahli Parlimen melompat parti sekali gus mengkhianati pengundi mereka.
"Perlembagaan perlu dipinda untuk menghalang mereka (ahli Parlimen) yang lompat parti. Malah negara akan jadi kucar-kacir disebabkan oleh beberapa ahli Parlimen yang berkepentingan bertindak sedemikian. Kalau kita hendak pertahankan prinsip perjuangan, ia (pinda perlembagaan) perlu dibuat untuk memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi.
"Contohnya rakyat menyokong ahli Parlimen, namun secara tiba-tiba mereka menukar parti seperti yang berlaku di Ampang, Gombak dan sebagainya hingga menyebabkan pengundi bertindak memfailkan tindakan mahkamah.
"Rakyat sekarang keliru dan tak yakin dengan demokrasi dan pengundi tidak akan keluar mengundi kerana mereka hampa dengan tindakan wakil rakyat seperti ini,” katanya.
Rayer berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-218 bertajuk ‘Politik Malaysia: Demokrasi Ikut Suka?' yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Sementara itu, Rayer yakin pembangkang kini semakin kuat berbanding kerajaan.
"Walaupun kita mempunyai 108 ahli Parlimen berbanding kerajaan, namun kami kuat kerana ada ahli Parlimen blok kerajaan masih sangsi dan tidak yakin dengan kerajaan sedia ada.
"Malah kita yakin sokongan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan kekuatan itu perlu dibina melalui perbincangan dengan parti Warisan, Muda dan sebagainya,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan netizen bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janji manifesto ketika menjadi kerajaan, Rayer berkata, setiap kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk melaksanakan tanggungjawab serta manifesto yang dijanjikan.
"Kerana pengkhianatan, PH runtuh. Sekiranya selepas lima tahun PH dapat mentadbir kerajaan tetapi masih tidak dapat menunaikan janji manifesto, jadi rakyat boleh mengundi kerajaan lain,” katanya.