Brexit mula kelihatan seperti 'escape room' tanpa jalan keluar.
Escape room telah menjadi permainan pengembaraan semakin popular yang memerlukan peserta menyelesaikan beberapa teka-teki sebelum mereka boleh meninggalkan bilik terbabit dan mara ke teka-teki seterusnya.
Brexit kini menjadi teka-teki yang tidak boleh diselesaikan selepas ahli Parlimen menolak rancangan Perdana Menteri, Theresa May untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Ia bermakna tidak ada cara untuk menang dan kaedah jelas untuk menamatkan 'permainan' itu yang bermula dengan referendum pada 2016.
Escape room pertama agak mudah untuk diselesaikan kerana ia hanya melibatkan satu teka-teki iaitu keluar atau kekal dalam blok terbabit.
Pada Jun 2016, rakyat Britain mengundi untuk meninggalkan kesatuan yang disertai negara itu pada 1973 yang menyebabkan ia 'berpindah' ke bilik seterusnya.
Bilik tersebut mengambil masa hampir dua tahun untuk keluar kerana ia memerlukan rundingan khusus dan panjang mengenai syarat Brexit dengan EU.
Setelah mencapai persetujuan di Brussels pada 25 November lalu, May membentangkan rancangan itu kepada Parlimen, namun gagal raih sokongan.
Beliau merancang untuk mengundi draf perjanjian itu ada 11 Disember lalu, namun ditarik balik pada saat akhir kerana menghadapi kekalahan besar.
Proses itu kemudiannya diteruskan pada 15 Januari lalu selepas memperoleh ‘jaminan lanjut’ daripada ahli Parlimen.
Tetapi, ia sekali lagi alami kekalahan besar selepas kehilangan 230 undi sokongan.
Perjanjian itu bagaimanapun masih belum ‘mati’.
May terselamat dalam undi tidak percaya Parti Buruh yang cuba untuk menyingkirkannya selepas memperoleh undi sokongan kesemua 118 anggota parti Konservatif yang menolak draf perjanjiannya dengan EU.
Kini, hanya tinggal kira-kira sebulan sebelum tempoh selama dua tahun yang ditetapkan Artikel 50 Perjanjian Lisbon untuk keluar dari EU berakhir pada 29 Mac depan melainkan jika jangka masa itu dilanjutkan atau tempoh peralihan itu dicapai.
Ketika ini, senario mimpi buruk untuk EU adalah jika Britain mengadakan referendum baharu.
Tangguh tarikh akhir Brexit
Tempoh lanjutan tarikh akhir Brexit boleh memberi beberapa kelebihan kepada Britain.
Kenyataan itu dikeluarkan Prof Undang-undang Eropah di Universiti HEC di Paris, Alberto Alemanno selepas rundingan Brexit kini terperangkap dalam kebuntuan.
"Keputusan melanjutkan tarikh akhir tersebut kepada tiga bulan hanya akan menjadikan Brexit 'lebih kepada Eropah' (Europeanize)," katanya.
Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Kesatuan Eropah (EU) pada Mei depan yang dijangka lebih berpecah-belah dengan pelbagai idea berbeza untuk membuat dasarnya.
Ini boleh membawa kepada sikap keterbukaan untuk rundingan semula perjanjian keluar yang menggariskan bagaimana Britain perlu meninggalkan EU pada 29 Mac depan.
"Barisan ahli politik baharu di Eropah akan mempunyai pendapat berlainan. Kita akan mempunyai EU yang berbeza," ujarnya lagi.
Tempoh lanjutan itu dipercayai akan bertembung dengan pilihan raya Eropah yang akan berlangsung antara 23 dan 26 Mei depan.
Artikel 50 Perjanjian Lisbon juga tidak menetapkan berapa lama tempoh lanjutan tersebut dan Britain mempunyai masa sehingga tengah malam pada 29 Mac untuk berbuat demikian bagi fasa rundingan semula.Apa langkah seterusnya untuk Brexit
Britain masih belum mencapai kata putus berhubung Brexit selepas ia dijadualkan keluar dari EU pada 29 Mac depan.
Situasi itu menyebabkan tiga senario yang mungkin berlaku iaitu perjanjian tanpa kesepakatan rasmi, perjanjian sama atau tidak ada Brexit sama sekali.
Tetapi, setiap laluan penuh dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan politik.
Berikut adalah langkah berpotensi.
Tiada perjanjian
Britain kini berada di landasan untuk meninggalkan EU dengan atau tanpa perjanjian pada 29 Mac melainkan ia menangguhkan atau menghentikan proses itu.
Senario tiada perjanjian boleh mencetuskan kemelesetan di Britain dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi EU serta menyebabkan gangguan undang-undang yang ketara.
Ketika ini, terdapat spekulasi bahawa kerajaan yang berdepan tekanan daripada Parlimen mungkin akan melambatkan proses itu dan tidak mencapai sebarang perjanjian.
Penangguhan
Beberapa pindaan diperkenalkan di Parlimen mahu menangguhkan tarikh akhir Brexit tersebut walaupun ia perlu mendapat persetujuan kesemua 27 negara anggota EU.
Komplikasi berpotensi adalah Pilihan Raya Parlimen Eropah dijangka pada akhir Mei depan dan sesi baharu dijangka bersidang pada 2 Julai dan kira-kira 73 kerusi Britain diperuntukkan semula.
Langkah penangguhan itu dijangka memberi May kelebihan untuk mendapatkan sokongan lebih meluas.
Referendum kedua
Beberapa ahli Parlimen mahu mengadakan referendum baharu untuk menterbalikkan keputusan referendum 2016 yang menyaksikan kempen Brexit tersebut memperoleh 52 peratus undi sokongan.
Tidak ada undang-undang yang menghalang Britain berbuat demikian, namun ada pihak mempersoalkan sama ada ia akan dilakukan secara demokrasi atau dapat menyelesaikan masalah kerana negara terbabit masih berpecah kerana isu tersebut.
Cuba capai perjanjian lain
Selepas berdepan penolakan memalukan, May telah mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen, tokoh perniagaan dan kesatuan perdagangan untuk mencari jalan penyelesaian.
Syarat utama perjanjian itu adalah penyelesaian 'backstop' untuk memastikan sempadan Ireland Utara terus dibuka dan ia kekal menggunakan peraturan dan undang-undang EU walaupun ia mungkin memberi kesan kepada barangan yang dibawa masuk dari wilayah Britain.
Penyokong berpengaruh Brexit memberi jaminan jika terdapat perubahan dalam 'backstop', mereka akan menyokong perjanjian itu.
Pemimpin EU sedia berunding dengan lebih lanjut termasuk rancangan untuk hubungan perdagangan pada masa depan, namun tidak mahu membuka semula perjanjian tersebut.
Pilihan raya umum
Pemimpin pembangkang, Parti Buruh, Jeremy Corbyn cuba menggulingkan kerajaan May, namun tidak berjaya.
Terdapat risiko Parti Konservatif pimpinannya dan sekutu mereka, Parti Kesatuan Demokratik (DUP) boleh menentangnya jika pemimpin wanita tersebut mengambil pendekatan lebih lembut atau tiada perjanjian Brexit dicapai.
Jika tidak, satu-satunya cara adalah mengadakan pilihan raya awal untuk menghentikan kebuntuan tersebut.
Tiada Brexit
Beberapa ahli Parlimen memilih untuk membatalkan Brexit walaupun berdepan kemarahan umum yang meluas. Minggu lalu, Menteri Kewangan, Philip Hammond memberitahu para pemimpin perniagaan bahawa Artikel 50 boleh dibatalkan.
Info:
Apa itu Brexit?
Ia adalah gabungan perkataan Britain dan exit. Brexit bakal menyaksikan perpisahan Britain dari EU yang akan mengubah hubungan dengan blok itu dalam aspek perdagangan, keselamatan dan migrasi
Pada 1975, Britain pernah mengadakan referendum pertama berhubung keanggotaannya dalam EU, kurang tiga tahun selepas ia menyertainya
Pada 2013, bekas perdana menteri, David Cameron berjanji satu referendum kebangsaan terhadap keanggotaan EU yang memberi pilihan kekal atau keluar akan diadakan. Cameron yakin ‘kekal’ akan menang dengan mudah
Pada 23 Jun 2016, ketika krisis pelarian mencetuskan kemarahan politik di seluruh Eropah, 52 peratus rakyat Britain mengundi ‘ya’ manakala 48 peratus menolak
Perjanjian keluar Britain-EU
Perjanjian keluar setebal 585 muka surat diikat secara sah menetapkan syarat perpisahan Britain dari EU. Ia merangkumi jumlah hutang Britain terhadap EU yang dianggarkan berjumlah 39 bilion euro (RM181 bilion) selain apa yang akan berlaku terhadap rakyat Britain yang tinggal di EU dan sebaliknya. Ia juga meletakkan syarat terhadap isu sempadan Ireland Utara
Sementara itu, kenyataan setebal 26 muka surat berkaitan hubungan masa depan tidak mengikat secara sah. Ia membuat draf tentang hubungan jangka panjang antara Britain dan EU dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan
Apakah tempoh peralihan?
Ia merujuk kepada tempoh selepas 29 Mac 2019 sehingga 31 Disember 2020 untuk memastikan segala yang dirancang berjalan lancar selain membolehkan perniagaan dan pihak lain bersedia menghadapi peraturan pasca-Brexit.
Ia juga membolehkan lebih banyak masa untuk menetapkan butiran tentang hubungan baharu Britain dan EU. Pergerakan bebas akan diteruskan ketika tempoh peralihan tersebut seperti yang dikehendaki EU. Britain masih boleh menguruskan perjanjian perdagangan sendiri walaupun ia tidak boleh berkuatkuasa sehingga 1 Januari 2021.
Tempoh peralihan itu hanya boleh berlaku jika Britain dan EU capai persetujuan terhadap perjanjian Brexit tersebut