UNITED Kingdom (UK) masih wujud sejak ratusan tahun lalu dan telah mengharungi pelbagai onak dan duri setelah penubuhannya. Tetapi ia kini berdepan dengan isu Brexit iaitu penarikan diri dari Kesatuan Eropah (EU) dan berhadapan masalah pandemik koronavirus (Covid-19).
Sebahagian pihak menganggap UK kemungkinan berada di ambang perpecahan berikutan isu Brexit dan Covid-19 yang begitu mudah menjangkiti penduduk di UK serta mengakibatkan angka kematian yang tinggi.
Sebelum ini, England, Scotland dan Wales membentuk UK sejak tahun 1707 dengan Ireland Utara kemudian menyertainya pada tahun 1821.
Namun, sejak lewat tahun 1990an, keempat-empat negara tersebut telah memperoleh kekuasaan sendiri termasuk dari segi melaksanakan pentadbiran penjagaan kesihatan.
Tambahan pula, keluarnya UK dari EU yang disertainya pada tahun 1975 berlaku ketika ia sedang berjuang untuk menangani masalah penularan pandemik Covid-19 yang sebelum ini ditemui buat pertama kali di Wuhan, China pada lewat tahun lalu.
Selama hampir 45 tahun berada di dalam EU dan menikmati pelbagai manfaat akibat dasar-dasarnya seperti perdagangan, imigresen dan ekonomi, pada 23 Jun 2016 penduduk UK membuat keputusan untuk keluar daripada kesatuan tersebut melalui satu referendum.
Keputusan tersebut menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, David Cameron meletakkan jawatan setelah kira-kira enam tahun mentadbir UK walaupun parti Konservatif yang dipimpinnya memperoleh majoriti dalam pilihan raya umum.
Sebelum pungutan suara bagi memutuskan sama ada UK kekal di dalam blok itu atau tidak, Cameron telah berkempen bagi meminta supaya keanggotaan dalam blok tersebut dikekalkan tetapi beliau dikalahkan dengan 52 peratus penduduk yang bersetuju untuk keluar dari EU.
Sebanyak 48 peratus penduduk lagi menyatakan persetujuan supaya UK kekal berada di dalam EU.
Cameron kemudian diganti dengan Theresa May sebelum kerusi panas itu diisi pula oleh Perdana Menteri UK yang baharu, Boris Johnson juga daripada parti Konservatif.
UK dijangka keluar secara rasmi dan meninggalkan EU mulai tahun depan.
Menurut BBC, Scotland dan Ireland Utara yang membentuk UK pula menyokong supaya ia kekal berada dalam blok perdagangan itu.
Justeru, para pejuang kemerdekaan Scotland dari UK menegaskan mereka tidak mahu meninggalkan EU dan mungkin sekali lagi berjuang untuk menjadi sebuah negara yang merdeka sekali gus bertindak menyertai blok perdagangan tersebut.
"Pandemik (Covid-19) tidak akan membantu," kata Timbalan Pengarah Pusat Untuk Pembaharuan Eropah, John Springford iaitu sebuah pertubuhan pemikiri kepada AFP.
"Justeru, berikutan isu Brexit menjadi keliru (perbincangan mengenai isu UK keluar dari EU masih berlangsung), kerajaan parti Konservatif menjadi amat tidak popular di
sempadan utara (UK) dan saya berpendapat sokongan ke atas kemerdekaan (Scotland) dipercayai akan meningkat," tambahnya.
Sebanyak 17 tinjauan pendapat yang diadakan sebelum ini menunjukkan majoriti penduduk Scotland menyokong negara itu keluar dari UK dan mengamalkan pemerintahan sendiri.
Sementara itu, menurut portal berita The Irish Post, pemimpin Sinn Fein, Mary Lou McDonald yang menjadi pembangkang di Republik Ireland berkata, sebuah negara Ireland yang bersatu menawarkan peluang sebuah penubuhan negara yang lebih baik untuk setiap penduduknya.
Beliau menyatakan misinya tentang penyatuan penduduk Ireland yang kini terbahagi kepada dua iaitu Republik Ireland dan Ireland Utara.
Sebelum ini, Perdana Menteri Republik Ireland, Michael Martin berkata seperti dilaporkan portal Politico pada 22 Disember lalu, negaranya tidak akan melaksanakan referendum mengenai penyatuan Ireland bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bagaimanapun penyatuan itu seperti kata Mary bersesuaian dengan misinya untuk menyatukan Ireland sekali gus menawarkan peluang keamanan dan kemakmuran di Ireland.
Ireland Utara menghadapi sejarah perjuangan daripada pertubuhan separa tentera iaitu, Tentera Republik Ireland (IRA) yang mahu mengusir Britain daripada mentadbir Ireland Utara sejak berdeakd-dekad lamanya.
UK pula kini berdepan dengan varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai VUI 202012/01 dan mudah merebak sehingga beberapa buah negara melarang penerbangan masuk yang datang dari Britain.
Sehingga 22 Disember lalu, UK mencatatkan lebih 2.1 juta kes Covid-19 dengan lebih 68,000 kematian. - Agensi