JIKA tiada aral melintang dan segala-galanya berjalan sebagaimana dirancang, penyerang muda sensasi negara, Safawi Rasid dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Berita kepulangan pemain kelahiran Dungun, Terengganu berusia 23 tahun itu sudah mula menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak Malaysia sejak seminggu yang lalu.
Hakikatnya, ramai juga yang terkejut apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan Safawi akan kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan musim depan.
Mana tidaknya, bintang JDT itu sepatutnya ‘berguru’ selama semusim bersama kelab Portugal, Portimonense SC. Tetapi tidak sampai setahun berkelana ke Portugal, Safawi dikhabarkan akan pulang ke Malaysia.
Perkhabaran itu mula menimbulkan tanda tanya bagi mereka yang mengikuti rapat karier Safawi. Malah, ada yang membuat pelbagai andaian terhadap apa yang berlaku ke atas penyerang berbisa Harimau Malaya itu.
Bagi peminat dan penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang Safawi, mereka berpendapat kepulangan Safawi itu adalah satu keputusan tepat dan terbaik bagi menyelamatkan kariernya.
Tetapi ada juga pihak yang ‘bersuara’ nakal mengatakan Safawi merajuk sehingga mahu kembali menyertai JDT selepas gagal mendapat peluang beraksi bersama skuad utama Portimonense SC.
Apa sahaja telahan yang dilemparkan ke atas Safawi, janganlah ada kenyataan yang sampai mengguris hati. Ini bukan masanya menuding jari siapa betul, siapa salah atau siapa hebat, siapa lemah.
Sepatutnya kita berbangga ada anak Malaysia yang mampu mengembangkan kariernya di bumi Eropah. Percayalah Safawi tidak akan pulang dengan tangan kosong sekembalinya dia ke tanah air tercinta ini.
Biarpun jika tempoh status sebagai pemain pinjaman Portimonense SC tidak cukup setahun, setidak-tidaknya Safawi sudah ada pengalaman cukup berharga sepanjang bersama kelab Liga Primeira Portugal itu.