WUJUD kemungkinan majoriti pulangan dividen daripada instrumen pelaburan bagi tempoh 2020 kurang memberangsangkan susulan kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi dunia.Penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia termasuk Kumpulan Wang Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH).
"Berdasarkan kepada pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, ia memberikan petunjuk kemungkinan besar instrumen kepada pelaburan lain di negara ini memberikan pulangan yang lebih rendah berbanding ASB.
"Kita tahu Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan entiti pelaburan yang berdaya maju dan cekap di Malaysia. Apa pun kita nantikan pengumuman yang bakal dibuat kelak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, dalam situasi TH, wujud kemungkinan hibah bagi tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lalu tetapi tidak sebaik ASB.
"TH berdepan situasi sukar sebelum ini iaitu masalah dalaman mereka.
"Melihat kepada harga sawit yang semakin baik, saya jangka dividen mereka lebih baik berbanding sebelum ini tetapi tidaklah sebaik ASB,” katanya. Shazali berkata, 2020 merupakan tahun cukup mencabar kepada dunia, bagaimanapun selepas keputusan Pilihan Raya Amerika Syarikat dan usaha berterusan mewujudkan vaksin giat dilaksanakan, ekonomi dunia termasuk Malaysia menunjukkan perkembangan positif.
"Tahun hadapan, unjuran ekonomi dunia mungkin lebih baik berbanding 2020 dan jangkaan itu dibuat sendiri oleh Bank Dunia.
"Untuk Malaysia, walaupun pertumbuhan kita negatif tetapi melihat kepada persekitaran semasa ekonomi yang semakin meningkat dengan pelabur yang semakin berani, kita berada di landasan tepat bagi pemulihan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pelaburan dan Perancangan Kewangan UOB Kay Hian Wealth Advisor, Mohd Sedek Jantan berkata, secara keseluruhan pada enam bulan pertama, suasana pasaran saham rendah akibat pandemik Covid-19."Akan tetapi pada suku ketiga, kebanyakan kaunter saham menunjukkan pemulihan kesan pembukaan ekonomi.
"Sentimen pelaburan juga meningkat apabila menunjukkan minat kepada kaunter terjejas teruk.
"Jangkaan pada tahun 2021, ekonomi masih dalam fasa pemulihan. Vaksin Covid-19 dijangka tiba di Malaysia pada suku tahun pertama menjadi pemangkin utama ekonomi Malaysia. Itu memberi manfaat kepada sektor pembuatan, peruncitan, pelancongan, pelaburan hartanah dan perbankan,” katanya.
Strategi dan polisi
Ditanya mengenai pengumuman agihan pendapatan ASB yang rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya menjadi petunjuk kepada dividen yang akan diumumkan oleh instrumen pelaburan lain, beliau berkata, ia tidak semestinya kerana strategi dan polisi pelaburan ASB berbeza dengan KWSP.
"Dividen KWSP sepatutnya lebih berbanding ASB. Bagaimanapun, sekiranya dibandingkan dengan kadar hibah simpanan tetap, pemberian dividen ASB pada hari ini (Rabu) mungkin tinggi.
"Akan tetapi 4.25 sen seunit, sekiranya ditolak dengan bayaran bonus sempena ulang tahun ASB ke-30, agihan pendapatan hanya 3.50 sen seunit.
"Jika kita lihat polisi pelaburan ASB, pegangan ekuiti dihadkan sehingga 90 peratus daripada jumlah dana dan ASB dibenarkan melabur sebanyak 10 peratus dalam sekuriti tidak tersenarai.
"Sepatutnya pulangan daripada aset jenis itu lebih tinggi berbanding dividen yang diumumkan,” katanya.
Jelasnya, struktur Unit Amanah ASB yang menggunakan harga tetap mampu menyerap risiko dalam pelaburan seterusnya membolehkan pelabur mendapat kembali modal yang dilaburkan.
"Jika dilihat dari sudut pelabur, tiada risiko hilang modal pelaburan, dengan itu pelaburan ASB boleh diklasifikasikan sebagai pelaburan risiko rendah dan pulangan 3.50 peratus dilihat setimpal.
"KWSP sangat berbeza kerana fungsinya untuk memastikan caruman ahli mencukupi apabila tiba usia persaraan.
"Polisi pelaburan KWSP membolehkan institusi itu melabur di luar negara iaitu skop lebih besar,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan i-Lestari dan i-Sinar pula mungkin memberi kesan kepada dividen tetapi tidak signifikan pada tahun ini.