KUALA NERUS – Daging import dalam pasaran Terengganu adalah halal dan selamat dimakan kerana bekalan diperoleh daripada pembekal serta pemborong daging sejuk beku import yang sah serta berdaftar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan dan tiada kemasukan daging kartel haram di sini.
Sehubungan itu beliau berkata, pengguna daging sejuk beku import di Terengganu tidak perlu bimbang dan khuatir dengan status halal pada daging yang berada dalam pasaran negeri ini kerana sumber protein itu diyakini halal.
"Selepas kita terima berita mengenai perkara ini (kartel daging haram), kita diarahkan buat pemeriksaan di seluruh negeri dan selepas diperiksa kita dapati tiada isu berbangkit kerana bekalan diperoleh dari negeri lain, bukan Johor.
"Daging sejuk beku import di sini selamat dan halal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas Tahun 2020 Peringkat Negeri Terengganu di pasar raya PXR Bukit Tunggal, di sini pada Rabu.
SHMMP Krismas dilaksanakan selama 10 hari bermula pada Selasa meliputi 14 jenis barang keperluan harian iaitu ayam, ayam belanda, daging kambing, telur, tomato, kubis bulat, lada benggala hijau, lobak merah dan ubi kentang import.
Sementara itu, Saharuddin berkata, KPDNHEP negeri Terengganu telah melakukan 49,777 pemeriksaan melibatkan 4,007 premis di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 569 kes melibatkan pelbagai kesalahan diambil tindakan membabitkan rampasan bernilai RM446,278 dan kompaun berjumlah RM147,750.
"Bagi hukuman denda oleh mahkamah pula, sebanyak 15 kes sudah disabit kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Akta Cap Dagangan 2019 dengan dikenakan denda berjumlah RM192,300.
"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gudang kartel proses daging babiKartel tukar daging haram jadi halal