Nelayan rayu kembalikan lesen PTMT

Iklan
Muhammad Khalil (kiri) dan Amzad sewaktu sidang media yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kuala Terengganu, di sini.

KUALA TERENGGANU - Nelayan bot pukat tunda di negeri ini memohon agar kerajaan mempertimbangkan kembali untuk memberikan kebenaran khas, iaitu lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT), yang dapat beroperasi sejauh dua batu nautika ke laut dalam.

Difahamkan, sebelum ini, pada setiap kali musim tengkujuh iaitu dari November hingga Februari, Jabatan Perikanan mengeluarkan lesen tambahan khas bagi membantu golongan terbabit menjalankan aktiviti.

Iklan
Iklan

Adun Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya mendapat banyak rungutan daripada nelayan terlibat yang mengadu tidak boleh mengambil peluang berkenaan untuk menambah pendapatan pada musim tengkujuh.

"Sebelum ini, ia tiada masalah dan kebenaran ada diberikan, melibatkan semua kawasan di Terengganu. Apa yang berlaku ialah, pada tahun ini, kebenaran itu tidak lagi diberikan oleh Jabatan Perikanan.

Iklan

"Sekiranya kebenaran tidak diberikan, ia akan membebankan mereka. Kita telah usahakan saluran-saluran yang ada tapi tidak berkesan. Hal ini kita panjangkan kepada Exco berkaitan dan akhirnya, ada satu sesi dialog bersama nelayan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat pada Januari lalu.

"Tapi, isu ini masih belum selesai. Kita lihat ia adalah isu besar yang melibatkan nelayan dan kita tahu pekerjaan mereka berat dan tanggungan mereka besar, sedangkan ini adalah peluang untuk mereka menambah pendapatan pada musim tengkujuh ini,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kuala Terengganu, di sini.

Iklan

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang turut senada menyuarakan masalah itu berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Perikanan sendiri yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Kita akur dengan undang-undang yang ada, tapi undang-undang yang dibuat itu harus mengambil kira harapan rakyat dan permasalahan mereka. Bantuan sara hidup telah dikurangkan dari RM300 kepada RM200 dan mereka berada dalam keadaan terdesak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sedia maklum perkara itu dan ia dalam tindakan Jabatan Perikanan.

"Kita telah adakan perjumpaan bersama nelayan dan agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering pada 21 Januari lepas. Hasil daripada perjumpaan itu, saya hantar sendiri laporan berkenaan kepada Ketua Pengarah Perikanan.

"Beliau terima dan maklum dengan masalah berkenaan dan akan hantar laporan susulan kepada kementerian untuk tindakan selanjutnya. Memandangkan musim tengkujuh sudah hampir berakhir, saya jangka mungkin keputusan itu bagi musim seterusnya,” katanya.