AKSI cemerlang Edinson Cavani pada aksi suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ketika menewaskan Everton 2-0 di Goodison Park pada awal pagi Khamis nyata melegakan pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.
Solskjaer berkata, ramai yang meragui keputusannya untuk menurunkan Cavani dalam kesebelasan utama United awal pagi Khamis lalu, namun aksi cemerlang dipamerkan pemain berusia 33 tahun itu pasti telah melenyapkan segala keraguan berkenaan.
Malah menurut Solskjaer, Cavani telah memberikan impak besar kepada skuad The Red Devils itu sejak kehadirannya ke Old Trafford 6 Oktober lalu.
"Saya rasa anda semua silap. Saya tidak fikir dia (Cavani) seorang pemain yang ‘lambat panas’ kerana bagi saya dia telah memberikan aksi yang cukup baik setakat ini.
"Walaupun pada peringkat awal dia mengalami kecederaan dan hadir lewat ke Old Trafford tetapi saya tetap kagum dengan aksi yang ditunjukkannya. Dia nyata memberikan impak di sini (Old Trafford).
"Dia turut menjaringkan gol-gol yang penting untuk kita dan dia akan terus menjadi seorang pemain yang baik selepas ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Cavani meledak gol sulung United pada minit ke-88 sebelum Anthony Martial menambah satu lagi gol pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemaraan skuad The Red Devils itu ke saingan separuh akhir EFL.
Sementara itu, Solskjaer turut memuji aksi Paul Pogba yang disifatkannya turut beraksi cemerlang pada perlawanan berkenaan.
Katanya, pemain Perancis itu turut memainkan peranan bagi melorongkan bola kepada jentera serangan pasukan dalam usaha mendapatkan jaringan.
"Bagi saya, Pogba aksi kelihatan semakin baik berbanding sebelum ini di mana pada ketika itu dia mengalami kecederaan.
"Kini, dia telah pun cergas dan saya gembira menyaksikan aksinya yang semakin baik dari sehari ke sehari,” katanya.