Lelaki tertembak mata sendiri dengan senjata ginsuk

Iklan
Mangsa cedera di mata akibat tertembak dengan senjata jenis buatan sendiri di hutan Kampung Pinatau, Kota Marudu pada Rabu.

KOTA MARUDU - Seorang lelaki parah di mata akibat tertembak dengan senjata buatan sendiri jenis ginsuk dalam kejadian di hutan Kampung Pinatau di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun tertembak matanya sendiri ketika sedang mengisi guli dan kepala batang mancis ke dalam senjata tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari wad kecemasan Hospital Kota Marudu pada jam 7.58 malam Rabu.

Menurutnya, pihak hospital membuat panggilan memaklumkan bahawa mereka menerima seorang pesakit lelaki yang cedera pada muka akibat tertembak dengan senjata buatan sendiri.

Iklan

"Siasatan awal mendapati mangsa sedang mengisi guli dan kepala batang mancis ke dalam 'barrel' ginsuk sebelum tiba-tiba berlaku letupan menyebabkan kecederaan pada kanan matanya.

"Kejadian berlaku di dalam kawasan hutan yang memerlukan empat jam perjalanan dengan berjalan kaki," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Iklan

Mohd Izaan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil bagaimanapun masih belum boleh bercakap," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.