KUALA NERUS - Musim tengkujuh menjadi igauan ngeri buat penduduk di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini apabila terpaksa berdepan masalah hakisan setiap kali tiba Monsun Timur Laut.
Selain terpaksa menanggung kerugian besar akibat harta benda seperti rumah, chalet dan kedai hanyut ditelan ombak, mereka juga tidak dapat tidur lena bimbang keselamatan diri dan keluarga berikutan jarak rumah serta laut hanya tinggal beberapa meter.
Seorang penduduk, Nurul Akhtar Che Mohd Taib, 37, berkata, isu hakisan di kawasan itu bermula sejak 2015 lagi dan dia terpaksa mengeluarkan belanja sendiri lebih RM60,000 menambak serta membina benteng bagi mengelak hakisan.
Bagaimanapun dia yang mengusahakan kedai makan D'Rumoh Pata berkata, usaha itu tidak membuahkan hasil apabila tanah pusaka menempatkan rumah dan enam kios menjual makanan terus ranap di badai ombak.
"Masalah ini bermula sejak 2015 tapi semakin serius tiga tahun lalu. Saban tahun kami terpaksa keluarkan wang sendiri sehingga puluhan ribu ringgit untuk tambak pasir dan benteng tapi macam buang duit dalam laut.
"Sampai bila kami harus hidup begini, saya tidak lagi mampu menghalang hakisan dengan kos sendiri kerana belanjanya besar. Malah duit pun dah habis kerana saya tak dapat berniaga sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Menurut Nurul Akhtar, tanahnya yang mempunyai kolam renang dan buaian juga turut runtuh akibat hakisan dalam tempoh lima tahun kerana jaraknya hanya 100 meter dari pantai selain benteng yang dibina bagi menempatkan 20 meja makan turut runtuh dalam kejadian hakisan terbaharu Selasa lalu.
Lebih membimbangkan katanya, akibat hakisan yang berterusan kini jarak pantai dengan rumah yang menjadi tempat dia bersama tujuh ahli keluarganya berteduh hanya tinggal kira-kira 20 meter.
Sehubungan itu, dia berharap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini sama ada membina benteng pemecah ombak atau kaedah bersesuaian bagi menghalang hakisan.
Dalam pada itu, Habsah Muda, 56, turut mengakui kesal apabila masalah hakisan yang dilaporkan kepada pihak berkenaan tidak diambil tindakan walaupun pemeriksaan dan tinjauan sudah dibuat.
"Setiap tahun kita suarakan dan minta bantuan, setiap tahun juga mereka datang ukur, tengok tapi tiada bantuan dihulurkan untuk baiki tempat kami walaupun satu lori batu.
"Kita mohon dan rayu kepada kerajaan yang ada supaya bertindak, jangan sebut tiada duit atau akaun sudah tutup akhir tahun sebab kita minta sejak tahun 2018 lagi," katanya.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90 juta bagi projek hakisan di kawasan pantai di negeri ini.
Peruntukan disalurkan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia itu melibatkan kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras.
Katanya, kerajaan sedang membuat kajian secara menyeluruh mengenai masalah hakisan pantai di beberapa kawasan seluruh Terengganu bagi membolehkan penyelesaian secara holistik diambil.