Kutipan dana dilancar untuk warga Malaysia terlantar di Australia

Iklan
Kutipan dana yang dijalankan menggunakan platform gofundme.

SHAH ALAM - Tiga individu melancarkan kutipan dana dengan menggunakan platform dalam talian, gofundme bagi membantu bekas seorang jurutera Malaysia yang terlantar sakit di sebuah hospital di Australia sejak enam bulan lalu

Berdasarkan laman berkenaan, Sanjeez Joshi, Nazmul Hasan dan Adel Farhat mewujudkan akaun kutipan dana tersebut selepas kisah Khaidir Abu Jalil, 34, disiarkan media Australia, The Sydney Morning Herald.

"Saya sedih melihat nasib yang ditimpa oleh Khaidir selepas membaca berita mengenainya di The Sydney Morning Harold pada 23 Disember 2020.

Iklan
Iklan

"Dia menderita penyakit autoimun yang sangat memberi kesan kepada kesihatannya dan telah lama menjalani rawatan untuk memulihkan sakitnya

"Tolong bantu dia dengan menderma," kata Nazmul.

Iklan

Setakat jam 11 pagi pada Khamis, sebanyak RM6,936 berjaya dikumpulkan di laman sesawang terbabit.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan kisah dugaan hidup Khaidir yang terlantar di Hospital St Vincent’s, Sydney di Australia akibat penyakit dermatomiositis.

Iklan

Menurut portal The Sydney Morning Herald, lelaki berkenaan disahkan menghidap penyakit autoimun yang jarang berlaku dengan kadar 50 peratus peluang untuk hidup.

Ketika dihantar ke hospital tersebut pada Julai lalu, Khaidir dalam keadaan parah dan ‘kelihatan mengerikan’ akibat menanggung kesakitan dengan kadar oksigen yang rendah sehingga terpaksa diintubasi di unit rawatan rapi (ICU).

Khaidir difahamkan merantau ke Australia sejak tahun lalu untuk bekerja bagi menyara keluarganya di Malaysia.

Selepas hampir enam bulan menerima rawatan, Khaidir kini semakin pulih, bagaimanapun masa depannya masih tidak menentu.

Lelaki tersebut berkemungkinan kehilangan pekerjaan sebagai jurutera di Melbourne dan berisiko menjadi gelandangan kerana masalah visa.

Dia dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada Krismas ini dan hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk tinggal di rumah perlindungan gelandangan yang dikendalikan St Vincents di Darlinghurst.