Tunggang motosikal 200km jenguk suami di hospital

Iklan
Rohaizan nekad menunggang motosikal seorang diri dari Kampung Kemahang,Benta ke HTAA pada Rabu.

LIPIS - Seorang suri rumah nekad menunggang motosikal seorang diri lebih dari 200 kilometer dari Kampung Kemahang, Benta ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada Rabu untuk melihat suaminya yang kini terlantar di hospital berkenaan.

Rohaizan Rozama, 41, mengambil risiko tersebut demi suaminya, Razali Ismail, 45 yang dimasukkan ke HTAA sejak 12 Disember lalu bagi mendapatkan rawatan akibat penyakit kanser perut dan otak yang kini telah memasuki tahap empat.

Iklan
Iklan

"Semalam (Rabu) saya mendapat panggilan dari pihak hospital yang memaklumkan suami akan menjalani imbasan magnetik resonan (MRI). Jadi perlu melihat keadaan dia (suami) di sana dan saya nekad menunggang motosikal seorang diri kerana tak mahu susahkan sesiapa.

"Memang kami ada kereta tetapi apabila memikirkan keadaannya yang sudah uzur selain masalah parkir di hospital buatkan saya terfikir untuk menunggang motosikal sahaja. Saya mulakan perjalanan kira-kira jam 6.15 petang dan sampai ke HTAA kira-kira jam 12 tengah malam tadi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Rohaizan mengakui gembira dan bersyukur kerana perjalanannya hampir enam jam untuk menemui suaminya lancar tanpa sebarang masalah.

Keadaan suami Rohaizan,Razali yang kini mendapat rawatan di HTAA sejak 12 Disember lalu.

Katanya, walaupun ada terdetik perasaan takut sepanjang perjalanan itu, namun menguatkan semangat untuk sampai ke destinasi dan bertemu suaminya.

Iklan

"Rasa takut memang ada tapi saya hanya fokus ketika berada di jalan raya dan hanya terbayangkan suami.

"Sepanjang perjalanan saya hanya berhenti seketika di Jerantut untuk mengalas perut kerana seharian tiak menjamah makanan," katanya.

Menceritakan penyakit yang dihadapi suaminya itu, ibu kepada dua cahaya mata yang berusia tujuh dan tiga tahun itu berkata, penyakit yang dihidapi suaminya itu hanya diketahui selepas mendapatkan rawatan di hospital kerana sering mengadu sakit perut.

Katanya, suaminya yang bekerja kontrak sebagai tukang rumah itu telah menanggung penyakit tersebut sejak tujuh tahun lalu, namun enggan mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya hanya bergantung kepada ubat tahan sakit sejak sekian lama.

"Buat masa ini anak-anak saya dijaga oleh adik ipar dan saya tak tahu sampai bila saya akan berada di hospital untuk menemani suami.

"Walaupun memikirkan tentang anak di kampung, namun saya perlu kuat untuk memberi semangat kepada suami agar dia dapat melawan penyakit yang dihidapinya itu," katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (162012858359) atas nama Rohaizan Binti Rozama atau menghubunginya di talian 017-9622679.