PENYERANG muda skuad kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan terus kekal beraksi bersama Kelab Divisyen 2 Jepun, Fagiano Okayama bagi tempoh masa setahun lagi.
Perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan Fagiano Okayama kepada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada selaku individu yang membantu karier Hadi Fayyadh di negara Matahari Terbit itu.
"Keputusan untuk menyambung kontrak Hadi Fayyadh bersama kelab itu dibuat selepas mereka (pengurusan Fagiano Okayama) melihat potensinya sebagai seorang penyerang yang semakin meningkat.
"Sepanjang menyertai Fagiano Okayama pada Disember 2018, Hadi Fayyadh juga telah memberikan komitmen tinggi, baik ketika sesi latihan mahupun perlawanan kompetitif yang diharungi kelabnya itu.
"Mereka percaya dengan memberikan peluang kepadanya untuk terus bersama kelab itu, ia akan dapat meningkatkan kemahiran yang ada pada Hadi Fayyadh selain membantu kelab itu untuk terus memberikan aksi terbaik pada saingan liga akan datang.
"Akan ada perancangan istimewa untuk Hadi bagi tahun 2021, namun masih lagi dalam perbincangan. Saya akan memaklumkan perkara ini apabila mendapat kebenaran daripada Fagiano nanti,” kata Hamada dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Hadi Fayyadh menyifatkan lanjutan kontraknya bersama Fagiano Okayama membolehkan dia terus menggilap bakat diri serta memperbaiki kelemahan yang ada.
"Saya bersyukur dan gembira dengan berita ini. Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab atas kepercayaan yang diberikan. Terima kasih juga kepada pihak Yakult Malaysia yang sentiasa membantu sepanjang dua tahun saya di sini (Jepun).
"Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk meningkatkan potensi diri serta memperbaiki kelemahan yang ada. Insya-ALLAH tahun 2021 akan menjadi tahun yang terbaik untuk saya," ujarnya.