PEMBURUAN takhta Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 berakhir dengan menyaksikan Mohd Helmi Azman, Mohd Syafiq Rosli dan Rahimi Nabil Razu masing-masing dinobatkan sebagai juara CP150, CP125 dan Wira KBS.
Helmi yang mewakili Hi Rev SCK Honda Racing mengesahkan trofi kejuaraan menjadi miliknya biarpun sekadar menamatkan perlumbaan akhir CP150 di tempat kelima pada Pusingan 8 di Litar Sepang (Utara) pada Khamis.
"Saya berterima kasih kepada pasukan, kru mekanik, keluarga dan pihak penaja. Perlumbaan akhir ini agak sengit kerana saya dengan Azroy (Hakeem Anuar) masing-masing fikirkan hal kejuaraan.
"Saya sebenarnya agak kecewa dengan keputusan hari ini kerana saya sebenarnya menyasarkan kedudukan podium. Tetapi saya dihimpit di garisan penamat pada saat-saat terakhir dan terpaksa akur di tempat kelima,” kata Helmi.
Selepas berakhirnya Pusingan 8, Helmi berjaya merangkul keseluruhan 143 mata manakala Hi Rev SCK Honda Racing turut menjulang gelaran juara bagi kategori pasukan CP150 dengan 192 mata.
Sementara itu, Syafiq yang menggalas cabaran Petronas Sprinta Yamaha-Maju Motor mengungguli saingan CP125 biarpun hanya mampu menamatkan perlumbaan penutup tirai tersebut di tempat kelima.
Tanpa kedudukan podium sekalipun, Syafiq masih boleh tersenyum bangga apabila ditabalkan selaku juara keseluruhan selepas mengumpul 117 mata.
Dalam kategori Wira KBS pula, Rahimi Nabil berjaya merampas trofi kejuaraan dengan kemenangan keempatnya musim ini, sekali gus menghadiahkan gelaran juara kedua berturut-turut kepada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing dengan kutipan 168 mata.