Nekad belajar tunggang motosikal selepas isteri sakit

Iklan
Zamzuri (dua dari kanan) menunjukkan pelitup muka kepada Sarina ketika ditemui di rumah mereka di Lorong Masjid Batu 3, Tandop pada Rabu. Turut kelihatan Jaafar (kiri) dan Muhammad Iman Nabihan (dua dari kiri).

ALOR SETAR -"Saya akan belajar membawa motosikal selepas isteri, Sarina Hashim, 35, tidak lagi boleh membawa motosikal kerana badan lemah akibat komplikasi kencing manis kronik," kata Jaafar Sirat, 59, ketika ditemui di Lorong Masjid Batu 3, Tandop pada Rabu.

Menurutnya, dia sebelum ini ke tempat kerja dan menghantar anaknya, Muhammad Iman Nabihan, 10, ke sekolah hanya dengan berbasikal kerana tidak tahu menunggang motosikal.

Iklan
Iklan

"Sebelum penyakit isteri bertambah teruk pada penghujung tahun lalu, dia yang menggunakan motosikal ini untuk hantar, ambil anak di sekolah dan urusan harian lain.

"Selepas isteri tidak mampu berjalan, motosikal ini tiada siapa yang guna dan terdetik untuk menjualnya. Namun saya ambil keputusan untuk belajar membawa motosikal selepas ini demi memudahkan urusan kami sekeluarga," katanya selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Zon Utara, Zamzuri Mansor.

Iklan

Jaafar berkata, nasib dia sekeluarga mendapat perhatian ramai pihak dan masyarakat selepas disiarkan oleh Sinar Harian pada 14 Disember lalu apabila terpaksa menggunakan pelitup muka yang sama sejak lapan bulan lalu kerana tidak mampu membeli yang baharu akibat kesempitan hidup.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada pelbagai pihak yang mahu menghulurkan bantuan termasuk ada yang menyalurkan wang ringgit melalui akaun bank miliknya.

Iklan

"Syukur ramai yang membantu dan bolehlah wang tersebut digunakan untuk kos perubatan penyakit kencing manis isteri.

"Keadaan anak juga perlu dipantau kerana ada menghidap penyakit darah tinggi dan pada Selasa semasa membuat pemeriksaan kesihatan bulanan, tekanan darahnya sudah stabil," katanya.

Ditanya tentang perancangan seterusnya, Jaafar berkata, dia berusaha untuk mencari kediaman yang lebih selesa dan pekerjaan yang membolehkan dirinya untuk pulang ke rumah melihat keadaan isterinya dari masa ke masa.

"Sepanjang tahun ini, tugas mengurus rumah, menghantar dan mengambil anak di sekolah serta memasak dilakukan oleh saya sepenuhnya kerana isteri tidak mampu lagi berdiri lama. Dia banyak berehat di katil sahaja," katanya.

Sementara itu, Zamzuri ketika ditemui berkata, pihaknya hadir untuk menceriakan keluarga Jaafar dengan menyampaikan sumbangan keperluan rumah dan juga kelengkapan sekolah untuk Muhammad Iman Nabihan.

"Sumbangan ini adalah di bawah Program Econsave Prihatin 2020 yang bernilai RM1,000. Antara sumbangan yang diberikan adalah keperluan barangan rumah, pelitup muka dan keperluan sekolah anak tunggal Jaafar dan Sarina.

"Kami harap Jaafar akan lebih bersemangat kerana masih ada masyarakat di luar yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sekeluarga," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan bulan ulang pakai pelitup muka sama