Budak kembar tetap derma walau tidak dapat ke masjid

Iklan
Muhammad Faizal (kiri) dan Muhammad Fadzli menyerahkan wang yang derma yang terkumpul kepada Zulkifli.

SEREMBAN - Meskipun tidak dapat pergi ke masjid susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun amalan menderma tabung masjid yang menjadi rutin dua beradik kembar sejak tiga tahun lalu tetap diteruskan.

Muhammad Faizal Awaludin dan Muhammad Fadzli Awaludin, 12, yang tinggal di Taman Cempaka di sini memilih meneruskan amalan itu dengan cara membuat tabungan di rumah.

Iklan
Iklan

Pada setiap hari Jumaat, mereka akan memasukkan wang ke dalam bekas khas yang disediakan sebelum diserahkan kepada pihak Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang.

"Mama yang beri galakan untuk kami derma tabung masjid setiap kali pergi solat Jumaat.

Iklan

"Tapi disebabkan pelaksanaan PKPB di Negeri Sembilan yang tidak membenarkan umur bawah 15 tahun pergi ke masjid, kami ambil langkah buat tabungan dari rumah saja," kata Muhammad Faizal kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun nilai wang yang didermakan tidak banyak, namun mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena jika gagal untuk berbuat demikian.

Iklan

Muhammad Fadzli pula berkata, setiap kali menderma mereka akan niatkan untuk arwah ayah dan ahli keluarga lain.

"Kadang-kadang masuk RM1 atau kalau tiada duit kami masuk 20 sen. Yang penting setiap hari Jumaat kami akan masuk duit dalam tabung.

"Ia seperti dah jadi tanggungjawab. Rasa macam berhutang pula kalau tak buat," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menyerahkan wang derma yang terkumpul kepada Pengerusi Kariah Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.

Sementara itu, Zulkifli berkata, amalan dua beradik berkenaan boleh menjadi inspirasi kepada orang lain dan jelas menunjukkan mereka mendapat didikan yang baik dari keluarga.

Katanya, bukan nilai wang didermakan yang menjadi ukuran sebaliknya kemurnian hati mereka untuk menderma.

"Bagi saya ia akhlak luar biasa buat anak yatim seperti mereka. Dengan ibunya yang hanya berniaga kecil-kecilan dan sumber pendapatan tidak seberapa, tapi mereka masih mempunyai hati untuk 'berkongsi'.

"Cerita sebeginilah yang perlu dikongsi kepada masyarakat supaya ia dapat menjadi inspirasi buat semua," katanya.