SHAH ALAM - Malaysia disaran mengubah konsep pembangunan ekonomi bagi mewujudkan ekonomi yang berdaya tahan.
Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Jamal Othman berkata, sebelum ini, sasaran ekonomi negara berdasarkan kepada pertumbuhan yang dipacu oleh eksport dan Pelaburan Langsung Asing (FDI).
"Kita tidak boleh bandingkan suasana dulu dan sekarang di mana Keluaran Negara Kasar (GDP) kita dulu sangat dipandu dan dipacu oleh faktor-faktor luar khususnya FDI,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana siri ke-219 yang bertajuk Menjengah 2021: Ekonomi Malaysia dan Nasib Rakyat yang disiarkan secara dalam talian di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada Khamis.
Turut menjadi panelis Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Profesor Dr Saadiah Mohamad dan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Dr Jamal yang merupakan Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Malaysia berkata, negara ini juga seharusnya melihat bagaimana bentuk pembangunan pada masa hadapan.
"Saya secara peribadi selalu menyarankan untuk kita lihat aspek membangunkan kesejahteraan berbanding daripada pertumbuhan ekonomi.
"Kalau kita boleh set idea atau konsep seperti ini, proses dari segi dasar dan strategi akan sangat berbeza berbanding dengan objektif untuk membangunkan pertumbuhan GDP.
"Bukan GDP kita tak akan tumbuh, dia akan terus tumbuh. Insya-ALLAH, cuma pertumbuhan GDP yang tinggi bukan menjadi matlamat kita,” katanya.
Dr Jamal berkata, pelabur asing kini berpindah kepada negara jiran Malaysia disebabkan faktor kelainan (disparity) yang semakin mengecil.
"Negara jiran kita menjadi semakin kompetitif dari segi kos buruh dan sebagainya yang akan menjamin pasaran domestik yang besar.
"Pelabur sekarang akan melihat sejauh mana pasaran domestik boleh menampung permintaan produk yang akan dibangunkan dan menjadi tumpuan pelabur,” katanya.