COLUMBUS - Kematian seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata akibat ditembak polis di Columbus, Ohio mencetuskan satu tunjuk perasaan baharu pada Khamis lalu berhubung ketikdakadilan sosial dan keganasan polis di negara tersebut.
Lelaki kulit hitam itu, Andre Maurice Hill, 47, sedang berada di dalam garaj sebuah rumah pada malam Isnin lalu apabila dia ditembak beberapa kali oleh seorang pegawai polis.
Pegawai polis itu telah dihubungi untuk datang ke tempat kejadian kerana terdapat satu insiden kecil di tempat tersebut.
Sebelum tembakan tersebut berlaku, rakaman video pada pakaian pegawai polis itu menunjukkan Hill berjalan ke arahnya dan memegang sebuah telefon bimbit pada tangan kirinya.
Namun, tangan kanannya tidak dapat dilihat dalam rakaman tersebut.
Ketua Polis Columbus. Thomas Quinlan mengumumkan pada Khamis lalu bahawa beliau mahu memecat pegawai polis berkenaan, Adam Coy atas dakwaan melakukan salah laku yang kritikal.
"Kami mempunyai seorang pegawai yang mencabul sumpahnya untuk mematuhi undang-undang dan polisi Polis Bahagian Columbus," kata Quinlan dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP.
"Pencabulan itu menyebabkan kehilangan nyawa seorang lelaki yang tidak bersalah," tambahnya.
Coy datang ke tempat kejadian selepas seorang jiran di kawasan perumahan Hill menghubungi talian 911 yang melaporkan seorang lelaki sedang duduk di dalam sebuah kereta bagi tempoh satu masa tanpa mematikan enjin.
Beliau dan rakan sekerjanya dilaporkan menunggu beberapa minit sebelum mendekati Hill yang masih hidup selepas ditembak sebelum meninggal dunia.
Hill merupakan penduduk Afrika Amerika kedua yang mati ditembak polis di Columbus kurang dari tiga minggu.
Lelaki kulit hitam itu didapati tidak membawa senjata ketika kejadian tersebut.
Sebelum ini, Casey Goodson Jr, 23, iaitu pemuda kulit hitam ditembak beberapa kali pada 4 Disember lalu ketika pulang ke rumah.
Keluarganya berkata, pihak berkuasa tersalah anggap yang Goodson sedang memegang sepucuk pistol sedangkan lelaki tersebut memegang sandwic.
Dalam tunjuk perasaan Khamis lalu, ribuan penunjuk perasaan mendesak keadilan terhadap mereka yang telah dibunuh oleh polis.
Sebelum ini pada bulan Mei lalu, seorang lelaki kulit hitam, George Floyd juga tidak bersenjata dan mengalami kesukaran bernafas ketika seorang pegawai polis berkulit putih menggunakan lututnya menekan lehar Floyd di Minnepolis sehingga akhirnya beliau meninggal dunia di sebuah hospital.
Ketika kejadian beliau ditahan kerana didakwa menggunakan wang palsu ketika membeli barangan. - Agensi