DAMSYIK - Pasukan Pertahanan Syria hari ini memintas peluru berpandu yang dilancarkan Israel di Hama iaitu wilayah barat negara itu, lapor agensi berita SANA.
"Satu serangan Israel dipintas oleh pasukan pertahanan udara kami di Masyaf di kawasan luar bandar Hama," lapor agensi berita tersebut.
Stesen televisyen Syria menyiarkan imej pasukan pertahanan udara itu bertindak balas terhadap serangan Israel.
Jet-jet pejuang negara Yahudi itu terbang di negara jiran, Lubnan sebelum serangan berkenaan, kata seorang koresponden AFP.
Badan Pemantau Untuk Hak Asasi Manusia Syria yang beribu pejabat di Britain turut melaporkan tentang serangan udara di Masyaf dengan berkata, Israel kemungkinan bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
Badan tersebut yang memantau Perang Saudara Syria berkata, serangan itu menyasarkan kedudukan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di negara itu dan militia yang disokong oleh Iran tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Israel yang tidak memberikan komen segera berhubung laporan berita tersebut telah melancarkan ratusan serangan ke atas negara itu sejak permulaan Perang Saudara Syria pada tahun 2011.
Rejim Zionis itu menyasarkan tentera kerajaan, kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan Iran dan para pejuang daripada kumpulan militan syiah Hezbollah Lubnan.
Israel juga jarang melaporkan operasi tenteranya di Syria tetapi menyatakan kehadiran Iran di negara itu yang memberi sokongan kepada Bashar merupakan satu ancaman dan ia akan tetap meneruskan serangannya. - AFP