SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menafikan dakwaan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) melarang ucapan perayaan pada produk yang diberikan sijil halal.
Beliau berkata, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang dikeluarkan Jakim tidak menyatakan sebarangan larangan khusus untuk perayaan selain agama Islam.
"Ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang telah dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.
Menurutnya, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 (MHMS) hanya terpakai bagi pemohon dan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
"Ringkasnya, jika kedai B yang ada sijil halal Jakim buat kek dengan ucapan perayaan pada kek untuk tujuan pameran di dalam premis, ia tidak dibenarkan tetapi jika kedai B menyediakan kek yang ditempah pelanggan A dan ada ucapan perayaan pada kek, ia dibenarkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mengenai insiden kedai roti yang tidak dapat memenuhi permintaan pelanggannya untuk menulis 'Merry Christmas' di atas kek yang dipesan untuk dihantar kepada seorang rakan.
Menurut laporan, pemilik kedai roti mengatakan tindakan tersebut dilakukan kerana dia harus mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jakim sebagai sebahagian daripada proses permohonan untuk mendapatkan sijil halal.
Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan yang diberikan itu dapat meleraikan salah faham yang berlaku berkenaan dengan isu yang berkaitan ucapan perayaan.
"Saya berharap penganut Kristian di Malaysia dikurniakan keamanan, kesihatan, kegembiraan dan kekayaan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan sebarang persoalan mengenai perkara tersebut boleh dirujuk pada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 di pautan https://smarthalal.com.my/MPPHM_Domestik_2020.pdf
Jelasnya manual tersebut bukan hanya menerangkan mengenai larangan yang melibatkan agama lain, malah turut melibatkan istilah-istilah seperti nama ALLAH, makanan sunnah dan lain-lain.