ALOR GAJAH – Tujuh kru kapal tunda TAG NUR21 terselamat dalam kejadian kebakaran kira-kira 2.5 batu nautika barat daya dari Pantai Pengkalan Balak, di sini petang Jumaat.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.10 petang.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat menerusi MERS 999, Bot Benteng 04 Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta membuat kawalan keselamatan di tempat kejadian.
"Seramai tujuh orang kru kapal berjaya dipindahkan ke kapal tunda yang berhampiran.
"Lima daripadanya warga tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia dan dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Jelasnya, tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihaknya akan membuat pemantauan berterusan.
Menurutnya, kerja-kerja pemadaman api menggunakan 'water cannon' telah dilakukan oleh kapal tunda yang berdekatan dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira lima jam.
"Syarikat kapal tunda terbabit juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menyiasat punca sebenar kebakaran.
"Kita turut menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda," katanya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut boleh disalurkan menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.