PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp meramalkan skuad kendaliannya bakal berdepan kesukaran berdepan West Brom bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Isnin.
Menurut Klopp, skuad The Baggies itu pasti akan turun ‘berhabis-habisan’ untuk melakar kemenangan dan sekali gus keluar dari zon penyingkiran ketika ini.
"Saya menjangkakan saingan yang sengit kerana ia selalunya begitu apabila kami berdepan dengan pasukan yang dikendalikan oleh Sam Allardyce.
"Pasukan yang dikendalikan Allardyce kebiasaannya agak tersusun dan menjanjikan saingan sengit kepada pihak lawan.
"Selain itu, berdasarkan analisis kami, perlawanan ini juga ada ‘helah’ yang tersendiri, sama seperti ketika Allardyce mengemudi Everton suatu ketika dahulu,” katanya.
Liverpool ketika ini gah di puncak EPL dengan 31 mata hasil sembilan kemenangan, empat seri dan tewas sekali daripada 14 perlawanan berbanding West Brom yang berada pada kedudukan ke-19 dengan tujuh mata hasil satu kemenangan, seri empat kali dan tewas sembilan kali daripada 14 perlawanan setakat ini.
Perlawanan berkenaan juga dilihat penting buat The Reds yang pastinya mahu meneruskankan rekod tanpa kalah di Anfield bagi saingan EPL musim ini.
Sementara itu, Klopp menegaskan dia berkemungkinan besar tidak menurunkan Thigao Alcantara pada aksi berdepan West Brom biarpun pemain berkenaan sudah kembali menjalani latihan.
"Rasanya, mungkin kita tidak ada keperluan untuk kita turunkan (Thiago) dengan tergesa-gesa kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan.
"Begitu juga dengna pemain lain seperti James Milner dan Xherdan Shaqiri yang kini dalam keadaan yang baik dan beransur pulih untuk kembali beraksi,” katanya.